Pemimpin PAS S'gor gesa rundingan dengan PKR diteruskan

Pada 13-09-2017 01:09 Ditulis Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

Mohd_Khairuddin_Othman_PBT.jpg

 
SHAH ALAM: Mereka yang 'tidak faham' sahaja akan menolak kepentingan untuk mengadakan pertemuan ke arah rundingan antara PAS dan PKR di Selangor.
 
Hal itu ditegaskan bekas Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman sambil menambah mahu ruang itu sentiasa terbuka supaya kedua-dua pihak yang terlibat mendapat keuntungannya dalam pilihan raya yang akan datang.
 
Khairuddin turut menekankan keperluan pertemuan ke arah rundingan dalam mendepani pilihan raya, memandangkan corak pentadbiran Selangor, termasuk komposisi kepimpinannya berbeza dengan negeri-negeri lain.
 
"Saya bersetuju jika ada pertemuan. Tak semestinya jika bertemu itu terus setuju, sebaliknya bertemu dahulu untuk berbincang. Sesebuah parti politik kena buka ruang, jangan ditutup.
 
"Kalau anda orang Selangor, tinggal lama di Selangor, faham keadaan Selangor, mesti bersetuju untuk kita duduk dan berbincang.
 
"Walau bagaimanapun kita letak teori, kita tak boleh menafikan kemajmukan dan demografinya tak sama dengan negeri lain," tegasnya.
 
Respon Khairuddin itu menyusul selepas PKR Selangor pada baru-baru ini mahu meneruskan rundingan dengan PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang, dalam memastikan saingan dua penjuru menentang Barisan Nasional (BN).
 
Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar dengan berkata rundingan itu diusahakan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor.
 
Xavier dalam pada itu menegaskan bahawa komitmen parti itu kepada Pakatan Harapan (PH) tidak perlu dipersoalkan, meskipun Mesyuarat Majlis Presidennya pada 29 Ogos lalu telah memuktamadkan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU14 dan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya itu.
 
Khairuddin, ketika diminta mengulas hal rundingan itu juga menolak tanggapan bahawa usaha itu hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja.
 
ADUN Paya Jaras itu turut menafikan usaha berkenaan digerakkan Azmin lantaran bimbang kedudukan dan kuasanya di Selangor semakin melemah, lebih-lebih dalam mendepani PRU14.
 
"Kita bukan bekerja untuk menguntungkan satu-satu pihak sahaja, sebaliknya untuk dua pihak. Bermakna apabila PAS dan PKR masih di dalam kerajaan, ia menguntungkan semua pihak. Mengapa tidak mahu berbincang dalam hal begitu?," tegasnya.
 
 
 
-sh-

Comments