Nasional   

1MDB: PAS enggan campur kes Azmin saman Najib [TONTON VIDEO]

pada 15-08-2016 10:08 
Oleh Azizul Osman

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: PAS mengambil pendirian untuk tidak mencampuri tindakan PKR mengemukakan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikeluarkan dalam laporan Ketua Audit Negara, Mac lalu.
 
Menurut Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tindakan itu adalah hak PKR sebagai parti politik pembangkang yang mendokong prinsip demokarasi di negara ini.
 
"Malaysia adalah negara demokrasi, negara yang bebas. Itu hak masing-masing (untuk PKR kemuka saman terhadap Najib berhubung laporan 1MDB)," katanya selepas selesai menghadiri Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Senario Politik Timur Tengah Pasca Cubaan Rampasan Kuasa Tukri di ibu negara malam tadi.
 
Hadi bagaimanapun tidak mengulas samada PAS akan turut serta dalam mengemukan saman berkenaan terhadap Najib. 
 
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali akan mengemukakan saman terhadap Najib bagi mendesak mahkamah campur tangan berhubung siasatan laporan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB yang masih lagi menjadi akta rahsia rasmi kerajaan (OSA).
 
Menurut maklumat pegawai khasnya, Azmin dilaporkan akan mengemukakan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 2 petang nanti dengan diwakili Ketua Biro Hal Ehwal Guaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) Latheefa Koya.
 
Difahamkan, Azmin berbuat demikian bagi mendapatkan perintah mahkamah agar kerajaan mendedahkan laporan berkenaan kepada umum untuk rakyat menilai dan membuat pertimbangan sewajarnya mengenai skandal 1MDB.
 
Laman web Sarawak Report pada 7 Julai lalu menerbitkan beberapa kandungan yang didakwa sebagai laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB walaupun dokumen berkenaan masih diklasifikasikan sebagai sulit di bawah OSA.
 
Laporan Ketua Audit Negara berhubung skandal 1MDB dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 4 Mac lalu.
 
Sebelum ini ahli-ahli PAC yang mewakili pihak pembangkang kesal dengan tindakan Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin yang menyerahkan mandat untuk mendeklasifikasi laporan Ketua Audit Negara berhubung 1MDB kepada pihak eksekutif.
 
Mereka menyifatkan pendirian Hasan itu berbeza dengan permintaan Ketua Audit Negara dan kenyataan media yang dikeluarkan Hasan pada 7 Mac lalu bahawa laporan audit itu hanya perlu dirahsiakan sehingga pembentangan laporan PAC.
 
Antaranya adalah Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw yang juga Timbalan Pengerusi PAC,Datuk Kamarul Baharin (Teluk Kemang), William Leong (Selayang), Datuk Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) dan Tony Pua (Petaling Jaya Utara). 
 



Ruangan Komen