Nasional   

Muhyiddin mula ikut gaya politik Tun M - Pemuda PAS

pada 19-05-2017 03:05 
Oleh Farhain Mazlan

Post Pic

SHAH ALAM: Pemuda PAS membidas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa 'memutar belit' kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.
 
Naib Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Muhyiddin sudah mula terikut-ikut dengan politik gaya Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering menyerang PAS secara lantang.
 
Beliau merujuk satu kenyataan Muhyiddin yang memberi respon terhadap kenyataan Hashim kononnya PAS mungkin akan mencapai kata sepakat dengan Umno untuk tidak melawan satu sama lain di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.
 
"Persoalannya, adakah benar adanya kenyataan Mursyidul Am PAS yang menyatakan PAS akan mewujudkan kesepakatan dengan Umno dengan persetujuan bahawa kerusi PAS tidak ditandingi oleh Umno dan begitu juga sebaliknya?
 
"Sebagai seorang bekas Timbalan Perdana Menteri, sekalipun diapit oleh pemimpin-pemimpin PAN (Amanah) dan DAP, adalah tidak wajar Muhyidin melontarkan komen demikian.
 
"Apakah salahnya jika Muhyidin berkata, 'saya perlu membuat pengesahan terlebih dahulu adakah benar kenyataan tersebut daripada Mursyidul Am atau sebaliknya sebelum membuat ulasan..'? Tidakkah ia kelihatan lebih berseni dan bertoma’ninah?," katanya dalam satu kenyataan.
 
Ahmad Fadhli juga berkata, Hashim tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut bahkan hanya mengulangi semangat yang telah ditegaskan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Aziz iaitu jika 'Umno terima Islam, PAS boleh bubar'.
 
"Apa yang disebut oleh beliau ialah PAS boleh bekerjasama dengan mana mana pihak yang boleh menerima Islam sebagai agenda perjuangan PAS. 
 
"Tidak pernah wujud dalam perbincangan PAS untuk memberikan laluan kepada Umno di kerusi-kerusi tertentu dan menuntut balasan yang sama daripada Umno," katanya lagi.
 
Tambah beliau, jika Muhyiddin menggunakan analogi 'undi PAS ialah undi Umno' kerana mendakwa PAS dan Umno berpakat, maka analogi yang sama juga boleh digunakai untuk PPBM dengan DAP. 
 
"Justeru, apabila telah sahih Parti Pribumi Bersatu tidak akan bertanding di kerusi sama yang ditandingi DAP, secara mudahnya menurut sifir tersebut, undi BERSATU (PPBM) bererti undi DAP.
 
"Saya mengira Tan Sri Muhyidin bahkan Mahathir sekalipun akan bersetuju jika kita menyebut secara jelas dan terang, dengan lidah yang fasih, Undi Bersatu bererti Undi DAP," ujar beliau.


Tags : Pemuda PAS Muhyiddin Tun M


Ruangan Komen