Nasional   

Exco Selangor: Anwar mahu Azmin teruskan perbincangan

pada 19-05-2017 05:05 

Post Pic

 
SHAH ALAM: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sudah mengarahkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali meneruskan perbincangan sebelum memutuskan nasib tiga Exco PAS di Selangor. 
 
"Kita perlu berbincang dan saya telah meminta Azmin untuk meneliti perkara itu.
 
“Saya rasa perbincangan sedang diadakan petang ini," katanya dipetik Malaysiakini.
 
Anwar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di mahkamah, mengulas mengenai kedudukan tiga exco PAS di Selangor berikutan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membuat keputusan membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR, minggu lalu. 
 
Tiga Exco PAS di Selangor ialah Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.
 
Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam  menegaskan kedudukan tiga wakilnya dalam kerajaan negeri Selangor kekal meskipun PKR telah mengarahkan semua wakilnya di Kelantan untuk meletakkan jawatan.
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia merujuk Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang mana lantikan setiap ahli majlis mesyuarat negeri adalah kerana mendapat perkenan daripada Sultan Selangor.
 
Kedudukan tiga exco PAS di Selangor sebelum ini menjadi tanda tanya, selepas Biro Politik PKR pada Selasa lalu mengarahkan kesemua lantikan wakil partinya dalam kerajaan Kelantan pimpinan PAS meletakkan jawatan.
 
Keputusan PKR itu dibuat selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membatalkan tahaluf siyasi antara kedua-dua parti itu. 
 
Bagaimanapun PKR dalam mesyuarat itu menetapkan kedudukan tiga exco dan wakil PAS dalam kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR akan diputuskan sekembalinya Azmin daripada lawatan rasmi di luar negara pada Jumaat.


Tags : Exco Selangor Anwar Azmin


Ruangan Komen