Nasional   

Azmin: PKR-PAS akan berunding lagi [TONTON VIDEO]

pada 19-05-2017 11:05 
Oleh Zeanaaima Md Yusof & Shuhaniza Said

Post Pic

 
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali masih membuka pintu rundingan antara PKR-PAS  bagi menentukan kedudukan wakil rakyat parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kerajaan negeri itu.
 
Ketika ditanya pemberita bilakah rundingan itu akan diadakan, Azmin berseloroh beliau baru sahaja tiba dari luar negara atas urusan rasmi dan belum sempat melihat sama ada  pimpinan PAS menghantar sebarang pesan mengenai perkara itu. 
 
"Saya baru tiba petang tadi, saya tak sempat nak tengok SMS.
 
"Sebaik saya tiba di KLIA, saya dapat mesej daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dia mahu saya buka pintu rundingan lanjut (dengan PAS). Saya kena lapor pada Presiden dulu sebelum menyertai mana- mana rundingan pada masa akan datang.
 
"Saya juga dimaklumkan PAS mahu bertemu dengan pimpinan PKR dan kita akan aturkan (pertemuan) itu pada masa yang sesuai," ujar Azmin dalam sidang medianya selepas merasmikan Kongres Wanita dan AMK peringkat Nasional ke-12, malam ini.
 
Azmin pulang ke Kuala Lumpur hari ini setelah memimpin rombongan kerajaan negeri Selangor menarik pelabur daripada Eropah. 
 
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini mengumumkan parti itu ada membincangkan kedudukan wakil hanya akan memutuskan kedudukan tiga Exco PAS di Selangor selepas perbincangan dengan Azmin. 
 
Wan Azizah juga mengumumkan PKR menerima keputusan PAS mahu memutuskan tahaluf siyasinya atau kerjasama politik dengan partinya namun menolak alasan yang diberikan.
 
PKR juga memutuskan agar semua wakilnya di Kelantan agar melepaskan apa sahaja jawatan lantikan politik berkuatkuasa serta-merta.
 
Di Kelantan, wakil PKR dilantik sebagai penyelaras DUN dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
 
Di Selangor, PAS mempunyai tiga jawatan Exco, 13 ADUN dan ratusan wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) serta ahli lembaga pengarah GLC.
 
Azmin dalam pada itu menegaskan kerajaan negeri di Selangor stabil dan langsung tidak mengalami sebarang krisis.
 
Beliau juga bertegas isu kedudukan tiga Exco PAS di Selangor tidak perlu diheret ke Istana Selangor buat masa ini. 
 
"Tak relevan, tak berbangkit sebab saya akan bincang lagi dengan pimpinan PKR sebab masa Presiden di luar negara. Presiden balik, saya pula ke luar negara," ujarnya merujuk kepada Wan Azizah. 
 
 


Tags : Azmin PKR-PAS berunding


Ruangan Komen