Nasional   

Pelantikan Saifuddin untuk tarik sokongan Melayu - Timbalan Ketua Menteri

pada 06-01-2017 04:01 

Post Pic

 
SHAH ALAM: Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Rashid Hasnon berkata, pelantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai penasihat strategik kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng adalah untuk mengukuhkan sokongan orang Melayu terhadap kerajaan negeri.
 
"Ini strategi dan bukan dedak," katanya, mengulas artikel di portal rasmi PAS, Harakah Daily yang sebelum itu menyifatkan pelantikan setiausaha agung PKR itu sebagai 'dedak'.
 
Rashid dalam pada itu berkata, pelantikan Saifuddin telah dibincangkan oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH), dan bukannya oleh DAP atau PKR. 
 
Justeru kata beliau, adalah hak ketua menteri untuk melantiknya.
 
Dalam pada itu tambah Rashid, Saifuddin akan bekerja bersama pasukan yang digelar "Memperkasakan Rakyat di Pulau Pinang", yang termasuk dirinya.
 
"Tujuan pasukan ini adalah untuk merampas kembali kerusi Melayu yang pembangkang gagal menang pada dua pilihan raya lalu dan memperkukuhkan kerusi yang kita menang tipis," katanya kepada pemberita.
 
Rashid berkata pasukan itu akan memberi tumpuan kepada sepuluh kerusi yang dimenangi oleh Umno di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lalu.
 
"Saifuddin mempunyai pengalaman luas di Kelantan, ketika membantu PAS melakukan perkara sama di negeri itu," katanya, merujuk kepada peranan pemimpin PKR itu ketika menjadi ahli Parlimen Machang.
 
Harakah Daily hari ini menyifatkan pelantikan itu adalah sebahagian usaha DAP menyekat sebarang kerjasama PKR dengan PAS.
 
Menurut portal itu, pelantikan 'orang penting PKR' dalam pentadbiran DAP itu berlaku ketika PKR masih menunjukkan 'sayang dan rindu' kepada PAS, yang ketika ini masih meneruskan tahaluf siyasi. 

Tags : Saifuddin Timbalan Ketua Menteri I


Ruangan Komen