Dunia   

20 pelajar sedang berenang maut ditimpa pokok

pada 20-03-2017 08:03 

Post Pic

ACCRA: 20 pelajar yang sedang berenang di dalam sungai terbunuh selepas pokok menimpa mereka akibat ribut di Ghana. 
 
Kejadian itu disahkan pegawai kecemasan, semalam. 
 
Jurucakap Perkhidmatan Kebakaran Kebangsaan Ghana, Putera Billy Anaglate, kejadian luar biasa itu berlaku pada tengah hari semalam, ketika sekumpulan pelajar sekolah tinggi sedang berenang di air terjun Kintampo. 
 
Air terjun yang terletak di Brong-Ahafo itu adalah destinasi popular dalam kalangan pelancong. 
 
Anaglate ketika berkata kepada AFP, mendakwa ribut menyebabkan pokok terbabit tumbang dan menimpa pelajar yang berada di dalam air. 
 
"Ketika kejadian ribut, mereka sedang berenang di dalam sungai. 
 
"Keadaan angin menyebabkan beberapa batang pokok tercabut dan menimpa mereka, terutama yang sedang berenang," katanya. 
 
Anaglate berkata, 18 pelajar maut di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital. 
 
Beliau berkata, 11 lagi masih menerima rawatan, termasuk kakitangan pentadbiran sekolah yang bertanggungjawab menguruskan lawatan berkenaan. 
 
"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa yang terkorban dan berdoa untuk mangsa yang cedera," kata Menteri Pelancongan Ghana, Catherine Abelema Afeku dalam kenyataan.



Ruangan Komen