Nasional   

PPBM sebulat suara diterima masuk Pakatan Harapan

pada 20-03-2017 02:03 
Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar

Post Pic

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebulat suara diterima memasuki Pakatan Harapan (PH).
 
PH juga bersetuju mengadakan logo baru dan mengemaskini manisfestonya menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk disesuaikan dengan penyertaan PPBM ke dalam gagasan itu. 
 
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat tertutup Majlis Presiden PH di Parlimen, pagi ini.
 
"Sekretariat Pakatan Harapan akan mengutus surat kepada Bersatu (PPBM) untuk memaklumkan perkara tersebut.
 
"Mesyuarat bersetuju berbincang segera dengan keempat-empat parti untuk merangka manifesto bersama dan mewujudkan logo baru," menurut kenyataan bersama pemimpin tertinggi PKR, DAP dan Amanah.
 
Kenyataan itu ditandatangani bersama Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
 
 
Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan hasrat partinya untuk menyertai PH secara rasmi, namun meminta agar nama, logo dan manifesto gagasan itu ditukar - untuk disesuaikan dengan agenda serta objektif partinya bagi menghadapi PRU14.
 
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buloh sebelum ini dilaporkan menghantar mesej agar PH menyegerakan kemasukan PPBM ke dalam gagasan itu sebagai persediaan pembangkang menumbangkan Umno Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
 
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat, pada 2008.
 
Perkembangan terbaru itu menimbulkan tanda tanya mengenai kerjasama PAS dengan PPBM.
 
Ia berikutan beberapa pemimpin parti yang diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bertegas, rundingan antara PAS-PPBM akan terputus jika parti yang ditaja Dr Mahathir tersebut, sah menyertai PH.  
 
Juga persoalan seterusnya yang akan timbul adalah bagaimana hubungan tahaluf siyasi PAS-PKR selepas ini, selepas ia terus menjalinkan hubungan dengan parti yang punya hubungan dengan DAP dan Amanah, sama seperti PPBM.

 



Ruangan Komen