Nasional   

Bentang RUU 355 pada komponen BN dahulu, gesa MCA [TONTON VIDEO]

pada 20-03-2017 03:03 
Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

Post Pic

KUALA LUMPUR: MCA mahu kandungan pindaan Akta 355 Mahkamah Syariah atau Rang Undang-undang 355 (RUU 355) dibentangkan di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN)  terlebih dahulu sebelum diambil alih oleh kerajaan.
 
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata proses itu penting supaya satu kesepakatan boleh diambil.
 
"Setakat ini kita belum lagi secara terperinci membincangkan kandungan apa yang dikatakan tentang RUU yang akan dicadangkan di kabinet dan akan dibentangkan di Parlimen kerana setiap satu RUU yang hendak dibentangkan di Parlimen mestilah melalui proses berbincang di dalam mesyuarat jemaah menteri.
 
"Setelah itu mungkin ada penambahbaikan atau ada yang setuju atau tidak, dan ia akan dirundingkan secara bersama kerana kita merupakan satu kerajaan melalui satu konsensus dan kita mestilah membuat satu keputusan secara kolektif," katanya ketika ditemui media di Dewan Rakyat, hari ini.
 
Wee berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada kelmarin yang mengesahkan kerajaan akan membacakan sendiri usul pindaan Akta 355, bagi mendapatkan kelulusan Parlimen.
 
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu-gugat kepentingan agama serta kaum lain di negara ini.
 
Zahid menyifatkan perkembangan tersebut memperlihatkan lagi kerjasama kerajaan BN dengan ‘rakan baharu’ yang pernah menjadi musuh politik untuk sama-sama memelihara kesucian agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan kepentingan agama serta bangsa lain.
 
"Biarlah kita kehilangan segelintir ‘kawan’ kita tapi kita akan dapat ‘kawan baharu’ yang kumpulannya lebih besar akan bersama-sama kita.
 
"Kawan baharu’ kita ini mungkin dulu musuh politik kita tapi mereka telah faham untuk sama-sama tangani masalah bersama (berkaitan agama Islam) dengan tidak mengenepikan agama lain,” demikian memetik sebahagian ucapan Zahid ketika di satu program di Terengganu.
 
Wee bagaimanapun enggan mengulas maksud 'kawan baharu' yang dinyatakan Zahid, bimbang sekiranya ia disalah tafsir.
 
"Soal kawan ini saya rasa kita kena berhati-hati. Itu mungkin satu anologi yang digunakan oleh TPM. Kita tidak boleh (ulas) dalam isu ini.
 
"Dalam kes ini kita kena berhati-hati. Hubungan akrab di antara parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Umno memulakan perubatan itu semangat musyarawah kita sejak mencapai kemerdekaan.
 
"Sehingga hari ini kita masih boleh katakan hubungan kita intim berdasarkan konsensus jadi saya tidak mahu buat sebarang andaian seolah-olah saya tidak tahu kandungan," demikian menurutnya.
 
Namun begitu beliau berharap draf pindaan RUU 355 itu mengambil kira kepentingan kepentingan kaum dan agama.
 
"Setiap perkara perlu diperhalusi supaya tidak mendatangkan kesan kepada mana-mana pihak itu adalah satu petua yang digunakan utk kita mengharmonikan masyarakat Malaysia," ujarnya lagi.
 

Tags : RUU 355 MCA


Ruangan Komen