Komentar   

Persaingan Anwar-Mahathir akan berulang kembali?

pada 21-03-2017 10:03 

Post Pic

[ULASAN] Nampaknya pendekatan “politik poligami” PKR tidak panjang hayatnya apabila salah sebuah gandingannya – PAS – mula mempersoalkan “keadilan” PKR dalam hubungan tiga seginya dengan DAP.

Syarat PAS bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan politik langsung dengan DAP dan Amanah kini mendorong parti itu memberi kata dua pada PKR – pilih PAS atau, DAP dan Amanah.

PAS juga insaf bahawa prasyarat yang sama diletakkan pada rundingan kerjasamanya politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah mendorong parti itu memilih bergabung dengan Pakatan Harapan.

Justeru dalam pilihanraya umum ke-14 kelak, satu perkara sudah hampir pasti ialah, pemilihan rakyat yang akan berlaku dalam tempoh setahun setengah dari sekarang itu pasti akan menyaksikan persaingan tiga blok politik.

Umno-BN sudah pasti menjadi blok utama. Kedua ialah, blok Pakatan Harapan yang mungkin diubah namanya bagi memenuhi syarat kemasukan PPBM dan juga Blok Gagasan Sejahtera yang dikongsi PAS, IKATAN dan Berjasa.

Benang terakhir yang mengikat PAS dan PKR dalam poligami politik luar biasa di Selangor dijangka putus dalam Muktamar PAS ke-63 di Kedah akhir April hingga 1 Mei depan.

Setakat ini sudah ada dua kawasan PAS mengesyorkan supaya mentalak PKR dari tahaluf siyasi yang dijalin sejak tahun 2008 itu lagi.

PAS Permatang Pauh dalam mesyuarat agung tahunannya minggu lalu sepakat membawa usul memutuskan hubungan dengan PKR.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan mendakwa, parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah itu cuba menjejaskan kedudukan PAS di kalangan pengundi Melayu-Islam di kawasan berkenaan menjelang PRU-14.

Beliau juga mendakwa PKR tidak menghormati PAS sebagai rakan kerjasama kerana bekerjasama dengan DAP dan Amanah untuk menyerang PAS.

“PKR didapati sewenang-wenangnya menggunakan sebilangan ahli PAS untuk kepentingan politik PKR tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan PAS,” katanya.

Beliau juga mendakwa, yang lebih memudaratkan apabila ahli PAS mengadu PKR meminta mereka keluar parti bagi tujuan memegang jawatan tertentu dalam kerajaan negeri Pakatan Harapan.

“Sifat tidak bertanggungjawab oleh PKR ini menunjukkan PKR sangat tidak menghormati prinsip setiakawan dan boleh menjejaskan PAS,” katanya.

Parlimen Permatang Pauh dimenangi Anwar dan isterinya yang juga presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak 1982. 

Wan Azizah menduduki kerusi itu ketika Anwar dipenjarakan selepas disabitkan kesalahan liwat dan tidak boleh memegang jawatan ahli Parlimen.

Wan Azizah kembali ke kerusi itu pada Mei 2015, selepas Anwar mengosongkannya susulan hukuman penjara terbaharu.

Pada 10 Disember tahun lalu, anak mereka Nurul Izzah Anwar, yang juga Naib Presiden PKR, menyeru pimpinan PAS tidak bertanding kerusi itu pada PRU-14.

Omar menuduh PKR gagal mempertahankan Islam di Pulau Pinang dan mendakwa parti itu menurut kehendak DAP mencampuri urusan penfatwaan.

“Terdapat beberapa fatwa yang dilengahkan/ditangguhkan oleh PKR dan DAP melalui exco agama,” katanya.

Pada 31 Januari, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof mendakwa kerajaan negeri mengarahkan semua fatwa melalui majlis mesyuarat kerajaan negeri sebelum ia diluluskan sebagai undang-undang.

Sementara itu, Mesyuarat Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat, hujung minggu lalu meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dan ambil semula kerusi yang “dipinjamkan” kepada PKR.

Usul itu dikemukan Perwakilan Cabang Empat Kedai, Ahmad Fadli Abu Bakar yang berhujah itu perlu kerna  PKR mengaku mempunyai hubungan tahaluf siyasi dengan Pas namun bekerjasama dengan musuh PAS iaitu DAP dan PAN.

Menurutnya, PKR juga tidak sensitif dengan menerima keahlian Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang menang atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah memberitahu pihaknya akan menilai semula untung rugi partinya meneruskan tahaluf siyasi dengan PKR yang dipimpin Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.

Menjelang muktamar bulan depan adalah dijangka lebih banyak kawasan PAS akan membawa usul yang sama sekaligus mencorakkan persaingan tiga segi dalam PRU ke-14.

PAS sudah lama bersedia bergerak sendirian sedangkan PH masih terkial-kial mencari titik persefahaman jitu. Penyertaan PPBM dalam pakatan itu dijangka mengubah perimbangan pengaruh di kalangan mereka.

Soal pengagihan kerusi yang bakal ditandingi anggota Pakatan Harapan masih jauh daripada selesai dan penyertaan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam politik PH dijangka mengkocakkan pakatan itu.

Sama ada isu kepentingan PKR, DAP, PPBM dan Amanah dapat diselesaikan dengan tuntas masih sukar diperkirakan meskipun bekas peneraju Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ia segera dimuktamadkan.

Anwar mungkin bimbang jika isu itu lengah ditangani, sudah tentu bekas sifu politiknya itu akan mempunyai banyak masa mencatur gerak untuk menguasai PH.

Jika Mahathir berjaya, sudah tentu ia akan melupuskan impian Anwar untuk segera dibebaskan kerana kembalinya beliau dalam persada politik Malaysia sudah pasti menjadi “gangguan utama” politik yang mahu diambil Mahathir.

Sama ada PH cepat berhasil mencari titik persefahaman atau tidak, yang pasti baik Mahathir mahupun Anwar sudah cukup ghairah untuk bersaing kembali.




Ruangan Komen