Komentar   

Benarkah menubuhkan parti Islam baru itu haram?

pada 12-04-2017 12:04 
Oleh Zainal Salleh

Post Pic

 
[ULASAN] "Sebelum Almarhum meninggal dunia, dia sebut kepada saya secara langsung, bahawa menubuhkan parti-parti baru ini memecah-belahkan umat Islam dan hukum dia adalah haram."
 
Demikian tegas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh sebagai memperjelaskan pendirian khusus bekas Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
Justeru itu, Zawawi berkata, adalah mustahil almarhum menyokong politik pembangkang dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagaimana yang didakwa Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa.
 
Katanya, almarhum berpegang kuat kepada prinsip perjuangan Islam serta menentang penubuhan parti-parti baru kerana ia memecah-belahkan masyarakat Islam.
 
Minggu lalu, Mat Sabu dalam ucapannya di Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa PAS gagal mewarisi pemikiran perjuangan almarhum mengakibatkannya tersasar dari landasan perjuangan almarhum.
 
Beliau memuji almarhum sebagai seorang yang berpandangan jauh baik di segi pengurusan kerajaan negeri dan ampuh strategi politiknya menghadapi parti lawan.
 
PAS-Umno seiring sejalan lepas Nik Aziz tiada
 
Sebaliknya, Mat Sabu mendakwa PAS kini 'seiring sejalan' dengan Umno, satu keadaan yang amat ditentang oleh almarhum ketika memimpin PAS dahulu.
 
Mat Sabu berkata, almarhum Nik Aziz seorang yang 'futuristik' dan berpandangan ke hadapan seraya cuba mengaitkan dilema PAS kini dengan peristiwa Nabi Nuh a.s. 
 
"Nabi Nuh telah membina kapal kerana mendapat ilmu menerusi ilham dan wahyu, bahawa akan berlakunya banjir besar. Dia membina kapal ketika hujan belum turun lagi. Tetapi anaknya tak ikut. 
 
"Iman itu tak dapat diwarisi, kita kena faham. Jika ada anak tak ikut pandangan bapa atau sebagainya, kerana iman tak diwarisi. 
 
“Malah dikatakan pula, air baru naik sedikit, bukit ada lagi. Kemudian dirasakan bukit semakin tenggelam, dikatakan pula gunung masih ada. 
 
“Dicari-cari kemudian jumpa Umno," sindir beliau terhadap keadaan kepemimpinan PAS setelah ketiadaan Nik Aziz. 
 
Mat Sabu tak punya ilmu Islam yang mantap
 
Bagaimanapun Nik Zawawi menyifatkan percubaan Mat Sabu ‘berseloroh’ dengan mesej al Quran itu  sebagai 'tidak mempunyai ilmu Islam yang mantap', kerana iman terletak di dalam hati manusia serta 'tidak berjangkit'.
 
"Kenyataan-kenyataan seumpama ini tidak menggambarkan seseorang itu mempunyai ilmu Islam dan dia (Mat Sabu) tidak faham agama,” katanya.
 
Justeru PAS mempertikaikan bagaimana Amanah merumuskan bahawa pemikiran almarhum Nik Aziz selari dengan perjuangan mereka (Amanah) sedangkan almarhum bersama PAS sehingga akhir hayatnya.
 
Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi membidas Amanah menggunakan 'pandangan' orang sudah meninggal dunia demi menghalalkan cara politiknya. 
 
Beliau mengulas dakwaan Husam kononnya jika masih hidup, almarhum akan menyokong kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Menurut Khalil, orang sudah meninggal dunia tidak boleh buat hujah untuk menyokong sesiapa seraya menegaskan Nik Aziz meninggal sebagai Mursyidul Am PAS. 
 
“Jadi bagaimana Amanah berhujah Tok Guru akan ikut pendekatan yang diambil mereka pada hari ini?” soalnya. 
 
Guna nama Nik Aziz untuk kepentingan politik tindakan dangkal
 
Khalil menyifatkan sebagai dangkal menggunakan nama Nik Aziz semata-mata untuk menghalalkan tindakan mereka keluar PAS.
 
"Ini satu tindakan untuk menutup kelemahan yang ada pada Amanah dengan 'menampal' seorang tokoh yang disegani oleh seluruh rakyat (pada imejnya)," katanya.
 
Mengenai dakwaan bahawa perjuangan Amanah 'direstui' Nik Aziz kerana aliran PAS kini tidak lagi sama sebagaimana yang pernah dipimpin tokoh berkenaan, Khalil menegaskan:
 
“PAS 'hidup' bukan berpaksikan perjuangan individu semata-mata. PAS mempunyai perlembagaan yang jelas disebut di dalamnya dasar Islam, bersumberkan Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.
 
"Tok Guru sebagai seorang tokoh PAS meninggal sebagai ahli jemaah PAS. Jadi bagaimana mereka boleh kata PAS lari dari dasar perjuangan Islam? ".
 
Bagaimanapun Mat Sabu masih menyifatkan Amanah satu-satunya perjuangan tulen yang diterjemahkan menerusi kepimpinan almarhum Nik Aziz.
 
Namun bersediakah Mat Sabu dan Amanah menafikan bahawa almarhum Nik Aziz sendiri ada memfatwakan bahawa tindakan menubuhkan parti-parti baru adalah haram kerana ia boleh memecah-belahkan parpaduan ummah?
 

 



Tags : Parti Islam baru haram


Ruangan Komen