Dunia   

3 wanita Pakistan mengaku bunuh pengikut Syiah

pada 21-04-2017 08:04 

Post Pic

ISLAMABAD: Tiga wanita mengaku membunuh seorang lelaki yang dituduh menghina Islam dengan menembak mangsa dari jarak dekat. 
 
Pegawai polis, Saeed Hanjra, berkata mangsa Faizal Abbas, berusia 50-an dari minoriti Syiah meninggalkan Pakistan pada 2004 selepas didakwa menghina Islam namun kembali semula awal tahun ini bagi melawan kes itu dan dibenarkan untuk ikat jamin. 
 
"Ketika kejadian mangsa berada di rumahnya di daerah Sialkot dalam wilayah Punjab apabila didatangi tiga wanita, semuanya berusia 20-an. Seorang daripada wanita itu menyerang mangsa," katanya. 
 
Bapa saudara mangsa, Azhar Hussain Shamsi, berkata Abbas sedang duduk bersamanya apabila wanita terbabit pergi ke bilik air untuk mengambil pistol yang disimpan dalam beg sebelum menembak dari jarak dekat. 
 
"Suspek bernama Afshan dan memang dikenali oleh kami sekeluarga. Dia bertugas sebagai pensyarah di institusi ada kaitan dengan militan anti-Syiah, dikenali Lashkar-e-Jhangvi," katanya.
 
Menurut Shamsi, anak saudaranya itu menjadi mangsa kepada tuduhan menghina Islam hanya kerana beliau dalam minoriti Syiah, yang merangkumi 20 peratus daripada 200 juta komuniti Islam di Pakistan. 
 
Pegawai polis tempatan, Muhammad Farooq mengesahkan kejadian itu dan berkata, semua suspek mengaku melakukan pembunuhan terbabit dan kini ditahan polis. - AFP



Ruangan Komen