Nasional   

Kesediaan Pandikar bertanding PRU14 rancakkan politik Sabah [TONTON VIDEO]

pada 21-04-2017 03:04 
Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

Post Pic

SHAH ALAM: Pemimpin Umno di Sabah menyambut baik hasrat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk kembali bertanding menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
 
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin percaya berdasarkan pengalaman Pandikar, baik di peringkat kerajaan atau kawasan, pemimpin veteran Umno itu mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.
 
Bung juga yakin 'kehadiran' Pandikar itu juga boleh menyemarakkan suasana positif bagi politik Sabah.
 
"Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja, termasuk Pandikar untuk aktif di dalam politik. Mungkin beliau merasakan boleh berkhidmat kepada rakyat dan negara. Jika itu yang difikirkan terbaik, pada saya, tidak menjadi masalah kepada mana-mana pihak.
 
"Seseorang individu itu mempunyai iltizam atau perancangan tersendiri untuk membangunkan masyarakat dan negerinya. 
 
"Kita tidak boleh gambarkan sejauh mana impak yang berlaku di atas komitmen dan kenyataannya, namun pada saya, dengan pengalaman yang begitu lama, Pandikar boleh menjadi pemimpin yang baik," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Pandikar pada hari ini menyatakan kesediaanya untuk bertanding dalam PRU14 nanti, berdasarkan kepada pengalamannya selama sembilan tahun memimpin Dewan Rakyat.
 
Beliau bagaimanapun enggan memutuskan untuk bertanding sama ada di peringkat Dewan Undang Negeri (DUN) atau Parlimen, dan menyerahkan segalanya kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.
 
Pandikar merupakan Presiden Pertubuhan Bugis Bersatu Sabah (USBO).
 
Beliau mula menyertai politik pada 1982 untuk bertanding di Parlimen Kota Belud, namun tewas. 
 
Pada tahun yang sama juga beliau bertanding di Pilihan Raya Kecil DUN Usukan dan menang kerusi berkenaan atas tiket Usno.
 
Pandikar mula dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat ke-8 pada 2008 bagi menggantikan Tan Sri Ramli Ngah Talib.
 
 


Tags : Pandikar PRU14 politik Sabah


Ruangan Komen