Nasional   

ISMA: Zakir pendakwah hebat, tak perlu risau dengan gelaran pengganas

pada 21-04-2017 03:04 
Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

Post Pic

SHAH ALAM: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berpendapat status penduduk tetap (PR) yang diberikan kerajaan kepada pendakwah dari India, Dr Zakir Naik tidak perlu mencetuskan kekhuatiran melampau.
 
Timbalan presidennya, Aminuddin Yahya berkata gelaran pengganas yang diberikan terhadap pendakwah kontroversi itu sengaja digunakan oleh negara luar untuk mencetuskan ketakutan terhadap Islam.
 
"Baguslah Zakir datang sini, walaupun India tidak suka dia. Sebab dia bukan orang biasa, dia pendakwah yang hebat, telah meng-Islamkan ramai orang walaupun terdapat sedikit pertikaian dari segi kefahaman. Namun ia tidaklah besar dan perlu disahkan semula. Tetapi jasanya dalam berdakwah adalah sesuatu yang besar.
 
"Soal pengganas ini adalah label biasa diberikan oleh musuh-musuh Islam. Siapa yang pengganas, ekstremis, fundamentalis? Ini yang sering digunakan musuh Islam seperti negara Barat untuk label orang Islam yang memperjuangkan Islam. Dan kita jangan mudah menerima label sebegitu," katanya kepada Antarapos.
 
Aminuddin mengulas pengesahan status penduduk tetap yang diberikan kepada Zakir sebagaimana didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada baru-baru ini.
 
Zakir dilaporkan mendapat status berkenaan lima tahun lalu.
 
Pendakwah yang pernah menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah kebangsaan pada 2013 dikehendaki oleh pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang dan mempromosikan propaganda pengganas.
 
Malah Agensi Siasatan Negara India (NIA) juga meminta Interpol mengeluarkan notis merah terhadap Zakir bagi menghalang beliau keluar dari Arab Saudi kerana gagal bekerjasama dalam siasatan ke atasnya.
 
Pendakwah itu mendakwa akan diseksa sekiranya pulang ke India, dan meminta agar soal siasat dijalankan melalui Skype dan kaedah tele-sidang.
 
Zakir merupakan pengasas badan dakwah Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) dan kerap kali mengadakan lawatan ke Malaysia dan Indonesia.
 
Mengulas hal itu lebih lanjut, Aminuddin meminta pihak berkuasa di Malaysia mengambil tindakan sewajarnya, sekiranya segala dakwaan yang dilempar terhadap Zakir itu benar.
 
"Itu hanya kerisauan. Maka tugas-tugas pihak berkenaan seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) untuk memantau dan sebagainya, jika benar ia dikatakan sebagai salah. Namun saya rasa ia bukan satu kerisauan, sehingga kita perlu tolak dia sepenuhnya," katanya.


Tags : ISMA Zakir pendakwah


Ruangan Komen