Nasional   

Tiada rombakan Exco - Khaled

pada 21-04-2017 05:04 

Post Pic

 
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak bercadang melakukan rombakan atau penambahan Exco baru, susulan peletakan jawatan oleh Datuk Abd. Latif Bandi.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan terus dipertanggungjawabkan kepada Datuk Md. Jais Sarday.
 
“Portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri dipertanggungjawabkan kepada Datuk Jais. Kita tiada cadangan untuk pelantikan baru atau perubahan atau pertambahan.
 
“Bagi mana-mana jawatan dan portfolio lain yang telah kita buat pertukaran akan dikekalkan sampai pilihan raya,” katanya selepas melancarkan kedai harga patut IMCoop di Taman Bukit Dahlia, di sini sebentar tadi.
 
Md. Jais dilantik memangku jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri menggantikan Abd. Latif yang bercuti pada bulan lalu.
Portfolio Pendidikan dan Penerangan yang disandang Md. Jais pula diletakkan di bawah seliaan dan tanggungjawab Datuk Ayub Rahmat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed pula diamanahkan bagi memikul portfolio Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi yang dipegang Md. Jais sebelum ini. 


Tags : Rombakan exco Khaled


Ruangan Komen