Nasional   

Apakah Kamarulazman juga bodek pemimpin parti, soal Ketua Penerangan PPBM

pada 21-04-2017 05:04 
Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

Post Pic

 
SHAH ALAM: Apakah Kamarulazman Habibur Rahman turut 'membodek' pemimpin atasan sehingga berjaya menyandang pelbagai jawatan dalam parti, demikian kritikan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Kamaruddin Md Noor.
 
"Dia dapat jawatan, jadi Setiausaha Kerja, Ketua Bahagian Teluk Kemang, ditawarkan pula menjadi Pengerusi Perhubungan PPBM Negeri Sembilan, malah kemudiannya letak kesemua jawatannya. 
 
"Apakah itu bermakna dia juga ikut sama membodek, mengampu dan berbaik dengan pucuk pimpinan untuk dapat kesemua (jawatan) itu?," katanya kepada Antarapos.
 
Kamaruddin berkata demikian mengulas tuduhan bekas Setiausaha Kerja PPBM itu bahawa parti mengamalkan pilih kasih, dimana pihak yang sentiasa bekerja keras dan berkorban demi parti terutama di awal penubuhan, diketepikan.
 
Kamarulazman juga mendakwa pucuk pimpinan tertinggi parti sedaya-upaya menyembunyikan krisis dalaman parti berkenaan.
 
Bukan itu sahaja ada juga segelintir pihak di dalam parti yang sengaja berbaik dan merapati pemimpin tertentu demi mendapatkan kedudukan dan jawatan di dalam parti.
 
"Yang sebenarnya tidak ada puak, kelompok yang dikatakan sesiapa yang berbaik dengan mana-mana pemimpin. Kita semua adalah 'orang PPBM', orang di bawah pucuk pimpinan," tegas Kamaruddin.
 
PPBM, menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh pada semalam juga menafikan dakwaan Kamarulazman dengan mengatakan setiap perlantikan jawatan dilakukan secara rundingan dengan pelbagai pihak yang terlibat menggerakkan parti sama ada di peringkat akar umbi berlandaskan musyawarah.
 
Malah perlantikan Kamarulazman juga dibuat dengan mengambil kira sumbangannya kepada parti dan penerimaan oleh ahli-ahli.
 
Sementara itu, Kamaruddin dalam masa sama memberi contoh bagaimana Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar abangnya tidak diberikan jawatan dalam parti, sekaligus menepis dakwaan PPBM mengamalkan kronisme dan nepotisme.
 
"Kehendak ahli-ahli PPBM di Setiawangsa untuk mencadangkan beliau jadi Ketua Bahagian, namun oleh kerana beliau adalah abang kepada Muhyiddin, nanti orang kata ada amalan nepotisme, jadi Muhyiddin minta abangnya tidak pegang jawatan Ketua Bahagian.
 
"Ahli-ahli di Setiawangsa tahu perkara ini. Apabila Kamarulazman sebut perkara sebegini, orang yang tahu tidak kisah. Bermakna dia ada masalah lain, bukan masalah ini (kronisme)," tegasnya lagi.
 
Masalah yang dimaksudkan itu merujuk kepada tugas Kamarulazman, yang masih kakitangan kerajaan, iaitu guru.
 
Penglibatannya di dalam politik, menurut Kamaruddin tidak disenangi pihak kerajaan sehingga memaksa Kamarulazman keluar parti, meskipun pengasas awal PPBM itu menafikan perkara sedemikian.
 
"Dia bukan bekas cikgu, dia masih bertugas. Dia menafikan menerima tekanan daripada pihak kerajaan. Tidak. Sedangkan dia memang kena tekan. Saya fikir sesetengah orang boleh tahan, sesetengahnya tidak. 
 
"Saya simpati dengan kedudukannya. Dengan dia membuat keputusan untuk keluar daripada PPBM sebenarnya menyelesaikan masalah dia dan kita juga," katanya lanjut.


Tags : Kamarulazman Ketua Penerangan PPBM


Ruangan Komen