Nasional   

PH hantar struktur, logo kepada RoS 'tak lebih dari sebulan' - Mat Sabu [TONTON VIDEO]

pada 17-07-2017 05:07 
Oleh Shuhaniza Said

Post Pic

 
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) dijangka akan menghantar senarai struktur kepimpinan bersama logo yang dimuktamadkan mereka kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat yang mungkin. 
 
Salah seorang Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu berkata buat masa ini gabungan itu belum menentukan tarikh untuk mendaftar di RoS, namun memberi jaminan ia akan dilakukan 'tidak lebih dari sebulan'.
 
Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, proses pendaftaran akan dilakukan selepas beberapa perkara dimuktamadkan dalam mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat.   
 
"Kita tak tentukan tarikh lagi, tapi secepat mungkin. Kita mungkin ada mesyuarat pada minggu ini, kemudian kita akan hantar.
 
"Ada mesyuarat dalam masa terdekat, kemudian kita nak luluskan beberapa perkara, dan selepas itu boleh hantar," katanya kepada Antarapos ketika ditanya mengenai perkembangan bersabit proses pendaftaran gabungan itu.  
 
Gabungan itu pada Khamis lalu memuktamadkan senarai struktur kepimpinan dan logo mereka untuk dihantar kepada RoS. 
 
Ia bagi memudahkan keempat-empat parti dalam gabungan berkenaan bertanding menghadapi Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.
 
Parti-parti pembangkang bertanding menggunakan logo sendiri pada pilihan raya umum sebelum ini.
 
Dalam pada itu ketika ditanya kesediaan parti-parti itu melepaskan logo masing-masing kelak, jawab Mat Sabu, ia sesuatu yang 'terpaksa' dilakukan demi satu matlamat yang besar.
 
"Terpaksa, kita kena sanggup melepaskanlah logo masing-masing. Amanah parti baru, sementara Keadilan (PKR) dan DAP parti lama, lagi berat," katanya lagi.
 


Tags : PH struktur logo RoS


Ruangan Komen