Nasional   

FIC: SPRM rampas tiga kotak, dua bagasi berisi dokumen

pada 17-07-2017 07:07 

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Selepas lapan jam melakukan 'kunjungan' ke pejabat Felda Investment Corporation (FIC) di Jalan Semarak, lapan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beredar sekitar jam 5.45 petang.
 
Mereka turut membawa bersama tiga kotak berwarna kuning dan dua beg bagasi dipercayai berisi dokumen berkaitan FIC yang juga sebuah anak syarikat FELDA.
 
Memetik laporan Berita Harian Online, semua barangan itu akan dibawa ke pejabat SPRM untuk siasatan.
 
Bagaimanapun, pegawai SPRM enggan ditemui pemberita dan terus meninggalkan pekarangan Balai Felda sebaik turun ke lobi utama bangunan berkenaan dengan menaiki dua kenderaan.
 
Terdahulu, pegawai SPRM tiba kira-kira jam 10.20 pagi tadi di pejabat FIC bagi menjalankan siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London sekitar tahun 2013 dan 2015.
 
Siasatan itu dibuat ekoran SPRM memperoleh maklumat baharu dalam siasatannya terhadap Felda Global Venture (FGV).
 
Difahamkan, semua dokumen itu diambil bagi membolehkan SPRM mengenal pasti saksi atau mana-mana individu yang boleh dipanggil untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.
 
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, dalam satu kenyataan pada 14 Julai lalu berkata, berdasarkan siasatan awal, FIC dipercayai membeli hotel itu pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.
 
Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian hotel itu.
 
Sementara itu, FIC dalam satu kenyataan mengesahkan kehadiran lapan pegawai SPRM ke pejabatnya untuk menyiasat pembelian hotel di London.
 
Katanya, FIC memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan oleh pihak SPRM.
 
"FIC komited memberikan sokongan terhadap usaha pihak berkaitan dalam meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, integriti serta amalan etika perniagaan yang menjadi kunci kepada tadbir urus korporat yang baik," katanya.
 
 
 


Tags : FIC SPRM


Ruangan Komen