Komentar   

Mengapa mesej Anwar sokong Mahathir disambut dingin?

pada 04-08-2017 10:08 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] Dari dalam penjara Sungai Buloh, Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba memujuk pelbagai pihak yang memang pernah menjadi penyokong tegarnya supaya terus mengukuhkan perjuangan pembangkang.
 
Tumpuan beliau ialah supaya rakan-rakannya dari SUARAM, Otai Reformasi, Parti Sosialis Malaysia (PSM), NGO dan badan Islam “mengendurkan sedikit tekanan” mereka yang mempertikai keputusan PH membabitkan Tun Mahathir Mohamad dalam barisan kepimpinan gabungan berkenaan. 
 
Mereka khuatir akan berlaku penyimpangan dari landasan gagasan reformasi dan agenda perubahan. Ada pandangan yang mencurigai muslihat sebenar yakni memadamkan keterlanjuran lalu termasuk penahanan tokoh politik dan aktivis rakyat, pelanggaran hukum dan rasuah. 
 
“Paling tajam adalah dakwaan bahawa akan berlaku ikhtiar untuk memulihkan corak pemerintahan dan tatakelola era lampau yang juga autokratik seperti rejim kini,” kata Anwar dalam kenyataan medianya 30 Julai lalu.
 
Matlamat siaran media itu ialah memperjelaskan halatuju dan keperluan menggabungkan seluruh unsur politik, sosial dan ekonomi dalam saf pembangkang demi menumbangkan kerajaan Umno-BN. 
 
Seperti lazimnya, Anwar cuba mengobarkan semangat dan menggilap sejarah perjuangan aktivis berkenaan untuk terus menyokongnya dan pada masa yang sama mengambil kesempatan menyerang pihak media arus perdana. 
 
“Saya hargai teguran rakan-rakan dan menggesa pimpinan PH berlapang dada berunding dan menjelaskan kedudukan sebenarnya. Kerana sesungguhnya, politik baru yang dijana PH tidak membatasi kuasa kepada beberapa kerat pimpinan atau elit; tetapi mengambilkira rintihan, denyut nadi rakyat. 
 
“Pada asasnya, PH adalah sebahagian utama dari gerakan rakyat. Malah dalam kerangka dasar Pakatan Rakyat sebelumnya - dasar bersama, manifesto dan belanjawan alternatif dilakar dan diolah setelah menimba pandangan rakan-rakan NGO, aktivis termasuk BERSIH,” tegas Anwar.
 
Beliau memberi jaminan bahawa PH akan lebih kukuh dengan memberi ruang wacana segar; menghimpun semua tenaga progresif rakyat dengan hasrat mendamba kebebasan dan keadilan.
 
“Muafakat inklusif PH memuktamadkan prinsip asas perjuangan ke arah negara demokratik, adil dan saksama. Dasarnya tidak samar melalui retorik umum, tetapi menggagaskan tonggak negara hukum dengan memulihkan kewibawaan dan kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), badan kehakiman, penguatkuasaan, dan menghindari kerakusan, amalan rasuah, kronisme dan kleptokrasi,” tambahnya. 
 
Ke mana pergi semangat reformasi? 
 
Namun tidak banyak reaksi yang diberikan oleh pihak-pihak yang disasarkan oleh Anwar. Yang jelas kepimpinanan Otai Reformasi tidak berganti apabila Saari Sungib memilih untuk terus aktif sebagai wakil rakyat dan ‘membebaskan’ diri dari perjuangan aktivis reformasi.
 
Sambutan daripada entiti lain seperti SUARAM, PSM dan NGO lain juga agak terbenam seolah menandakan siaran media itu kurang menguja dan mengobarkan semangat reformasi. 
 
Betapa tidaknya, landasan reformasi yang dicuba digerakkan Anwar kini sudah lebih lebih 35 tahun itu kini nampaknya tidak menyerlahkan harapan baru. Malah ia masih berkisar pada watak reformasi yang sama – Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad.
 
Pada 1981 Anwar membuat keputusan besar dalam hidupnya apabila “merestui” Mahathir Mohamad untuk menjadi “sifu” dan pemimpinnya dalam melaksanakan cita-cita reformasi untuk Malaysia.
 
Apabila duduk di sebelah Mahathir di bilik Gerakan Pejabat Perdana Menteri untuk mengumumkan penyertaannya sebagai ahli Umno, Anwar berfalsafah: “Apabila pihak (kerajaan) bersikap responsif, maka perlulah kita bersikap bertanggungjawab”.
 
Sebelum itu watak Anwar adalah seorang reformis ghairah dan garang memimpin Angkatan Belia Islam (ABIM) untuk mereformasi sistem pendidikan, ekonomi, kehakiman, politik dan semua aspek kehidupan. 
 
Beliau mengepalai lebih 50 pertubuhan dan NGO menentang Akta Pertubuhan yang dilihat mengongkong hak bersuara dan kebebasan rakyat. Ketika itulah tawaran Mahathir supaya Anwar bekerjasama dengannya merobah masa depan negara dibuat. 
 
Mungkin itu yang dimaksudkan Anwar apabila kerajaan responsif, maka pihaknya perlu bertanggungjawab melakukan perubahan bersama. Maka wujudlah kempen penerapan nilai Islam, penubuhan institusi Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa sistem perbankan Islam, takaful dan pelbagai lagi. 
 
Serentak itu Anwar memanjat tangga kuasa dari Ketua Pemuda sehingga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Namun sepanjang 17 tahun bersama Mahathir, kekangan kebebasan rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri ((ISA) dan soal integriti badan kehakiman tidak berubah,
 
Malah apabila Mahathir memecat Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas, melaksanakan impian raksasanya seperti Perwaja, Proton, perdagangan matawang (Forex) yang mengakibatkan kerugian berpuluh billion ringgit, Anwar sentiasa di samping Mahathir. Wala’nya tidak boleh dipertikaikan.
 
Sejarah reformasi Anwar bermula 
 
Namun sejarah menyaksikan watak Mahathir yang sebenarnya apabila ada ‘anak didiknya’ yang cuba bertindak seperti  ‘ular lidi hendak menjadi naga politik’ dan mencabar kedudukan politiknya. Anwar dipecat, diaibkan dan dipenjarakan. 
 
Anwar pun memasuki proses reformasinya yang kedua. Keluar dari kerajaan, Anwar terperosok di penjara. Ketika itulah istilah dan maksud reformasi dilaungkan di seluruh penjuru negara walhal komitmen Anwar mahu mereformasi sistem hidup di Malaysia sudah dibuatnya sejak 1981 lagi. 
 
Simpati, kagum dan komitmen aktivis-aktivis reformasi ini membantu Anwar mengatur barisan pembangkang yang kukuh dan pada 2008 menafikan Umno-BN majoriti dua pertiga di parlimen. 
 
Kejayaan ini diulangi dan diperbaiki lagi pada PRU13 pada 2013. Kepimpinan Anwar terserlah dan sekaligus menyelimuti hakikat bahawa sebelum itu selama 17 tahun beliau bersama Mahathir kononnya menyusun agenda reformasi untuk Malaysia dalam pelbagai bidang, gagal.
 
Jika ditanya mengapa gagal, tentu umum akan menuding jari bahawa ia digagalkan oleh sikap autokratik dan zalim Mahathir; terkecuali jika Anwar sanggup jujur dan mengakui ia adalah kerana kelemahannya kerana terlalu “kagum, taksub dan tertipu” oleh Mahathir. 
 
Namun kini Anwar mahu mengajak rakan dan penyokong reformasi “mempercayai Mahathir dan menyokong kepemimpinannya dalam PH”. Apakah aktivis reformasi tidak sedar atau terlalu taksub dengan Anwar hingga terlepas pandang bahawa Anwar pernah gagal bereformasi bersama Mahathir tetapi gagal kerana beliau terlalu taksub pada Mahathir?    
 
“Pada hemat saya kehadiran Tun Mahathir dan Bersatu adalah dalam kerangka memperluas jaringan dukungan kepada agenda perjuangan yang lebih disepakati. Secara peribadi saya alukan kesediaan Tun untuk turun mengharungi perjuangan bersama. 
 
“Keperitan peribadi dan luka yang dialami adalah kecil berbanding dengan kepentingan rakyat dan masa depan negara. Tun kini terpaksa bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau pantas bertindak aktif dan berani,” pujuk Anwar lagi. 
 
Memang Mahathir berani. Sebab itu meskipun Anwar mengumumkan taat setia tidak berbelah bahaginya pada beliau pada awal September 1998, pada esok harinya, Anwar tetap dipecat kerana berbeda pendekatan dan cara kononnya untuk menyelamatkan ekonomi negara pada 1998. 
 
Namun kemudian Mahathir menokok alasan menggugurkan Anwar dari senarai kepimpinan negara kerana akhlaknya pula. Mahathir tidak hirau perubahan alasan beliau menggugurkan Anwar itu kerana beliau tahu gerakan reformasi Anwar tidak cukup kuat untuk menumbangkannya. 
 
Kini Anwar seolah-olah menemui jalan buntu dan mahu Mahathir mengepalai pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Umno-BN. Bagi Mahathir ini bak pucuk diidam ulam pun tiba. 
 
Besar kemungkinan jika PH berjaya mengalahkan Umno-BN dalam PRU14, Mahathir tidak teragak-agak “mensejuk-bekukan” kerjaya dan impian reformasi Anwar Ibrahim sekali lagi. 
 
Menilai kebarangkalian ini, mungkin seruan Anwar supaya kepemimpinan Mahathir dalam PH dihargai, disokong dan dijayakan, tidak menerima sambutan hangat reformis.
 


Tags : Anwar Mahathir dingin


Ruangan Komen