Komentar   

Khalid Ibrahim, Mat Taib 'bak sirih pulang ke gagang'

pada 07-12-2017 08:12 
Oleh Lokman Ramlee

Post Pic

 
[ULASAN] “Parti saya rakyat Selangor...saya sambut baik usaha ke arah perpaduan umat Islam daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang,” kata mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Sebagai seorang wakil rakyat yang kini tidak berparti kenyataan itu bolehlah dianggap sesuatu yang segar dalam konteks isu mempertahankan perpaduan dan keharmonian rakyat. 
 
Kedudukan ini menzahirkan ketulusannya mahu melihat negeri Selangor yang pernah dipimpinnya dari tahun 2008 hingga 2014 terus maju secara tertib.
 
“Menerima jemputan menghadiri Konvensyen Umno Selangor 2017. Saya menyambut baik semua usaha untuk memperkasakan perpaduan umat Islam baik dari pihak kerajaan atau pembangkang. 
 
“Saya yakin pendekatan ini jauh lebih efektif daripada hanya menyokong satu pihak yang gemar melaungkan retorik keadilan tanpa komitmen untuk melakukan reformasi sebenar. 
 
“Apa pun, saya tidak akan melepaskan prinsip amanah, telus dan bertanggungjawab dalam segala tindakan dan keputusan,” tulis beliau dalam ruang Facebooknya. 
 
Tan Sri Abdul Khalid bukan seorang ahli politik tegar. Karakter beliau lebih condong kepada watak seorang pengurus yang cermat . Beliau menguruskan Selangor bukan menurut kacamata seorang pakar siasah yang berpolitik untuk mengekalkan kuasa semata.

Pendekatan beliau ini memang berkesan. Khalid awal bulan ini mengumumkan bukan sahaja mahu membantu Umno-BN malah khidmat ini dipanjangkan kepada PAS yang banyak menyokongnya sewaktu menjadi pemimpin utama Selangor sebelum ini.

Meskipun ada pihak dalam PAS yang meragui cara politiknya, Khalid sebenarnya adalah manifestasi budaya politik matang dan sejahtera yang diidamkan oleh PAS. 
 
Bagi Khalid wakil-wakil PAS yang turut menganggotai barisan Exconya telah menunjukkan keserasian dan tasamuh (tolak ansur) dengan prinsip politiknya.
 
Ramai ahli politik apabila kerjayanya terancam dan kelemahan kepimpinannya mulai terserlah seraya ketulusan serta ketelusannya didedahkan, akan menggunakan alasan bahawa sebenarnya mereka berkeadaan begitu kerana difitnah.
 
Fitnah adalah perisai politik yang sering digunakan oleh ahli politik untuk ‘melengahkan proses dihukum’ oleh penyokong sendiri dan persepsi buruk yang mungkin terbentuk di benak rakyat.
 
Dengan melaungkan menjadi mangsa fitnah mereka lazimnya diberi ‘talian hayat’ dalam bentuk ‘bonus masa’ untuk memperbetulkan keadaan. Budaya politik di Malaysia lazimnya memberi peluang kepada pihak terfitnah untuk membela diri. 
 
Di sini letak keluhuran budaya politik Malaysia. Rakyat umumnya amat faham akan senario cantas mencantas dalam arena politik dan akur isu fitnah ini perlu diberi perhatian.
 
Namun dalam kes Abdul Khalid beliau sudahpun menjadi mangsa fitnah oleh bekas partinya, PKR yang menuduhnya rasuah dan tidak amanah di mahkamah. Tuduhan PKR itu tidak benar dan pemimpin kanan parti itu akhirnya terpaksa meminta maaf pada Abdul Khalid. 
 
Bagaimanapun permohonan maaf itu sudah terlewat kerana PKR sebelum itu sudahpun menyingkirkannya dari parti kerana enggan meletakkan jawatan Menteri Besar. 
 
Bagaimanapun Khalid istiqamah. Beliau teruskan tekadnya mewujudkan amalan politik bersih dan mengutamakan kepentingan rakyat. Menjadi wakil rakyat tanpa parti tidak menjadikannya seorang yang ‘sunyi dan berasa dipulaukan’.
 
Malah sebaliknya, pengalaman menjadi anggota PKR menyedarkannya pada  hakikat beliau telah silap memilih wadah politik. Setelah meletakkan Selangor di landasan yang betul dalam perjuangan mereformasikan politik Selangor, Khalid difitnah oleh politik PKR.
 
Seperti seorang lagi mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohamad Taib, gejolak dan politik gelojoh PKR membuka mata mereka betapa PKR sebenarnya tidak boleh direformasikan. Fitnah adalah asam garam politik mereka.
 
Kedua-duanya kembali ke pangkuan Umno kerana mereka sedar ruang untuk berkhidmat dengan ikhlas demi kemaslahatan rakyat sebenarnya memang sudah menjadi tunjang politik Umno. 
 
Mereka bermula dengan Umno dan berakhir dengan PKR. Realiti politik berpuak dan cemburu PKR menolak mereka kembali ke pangkuan Umno.

Khalid dan Mat Taib tidak bermimpi diberi peluang memimpin Selangor sekali lagi. Dalilnya mereka tidak mahu menjadi wakil rakyat lagi. Mereka hanya mahu menyuarakan niat dan impian rakyat akar umbi.
 
Sekurang-kurangnya pengalaman mereka dengan PKR sudah cukup memberi isyarat bahawa parti itu bukanlah tempat rakyat bernaung kerana PKR sebenarnya adalah medan polemik dan politik untuk pemimpinnya sahaja.
 
Kini mereka nyata insaf bahawa pihak yang benar-benar menyayangi dan ambil peduli kepentingan rakyat ialah Umno. 
 
Kini giliran PAS pula membuktikan bahawa reformasi politik tidak mustahil dilakukan. Tan Sri Abdul Khalid dan Tan Sri Muhammad Taib menunjukkan jalan bahawa “hanya jauhari mengenal manikam’. 
 
Jika mahu memilih wadah untuk memperjuangkan nasib umat Melayu-Islam, hanya Umno sahajalah permata demokrasi untuk semua rakyat Malaysia.
 


Tags : Khalid Ibrahim Mat Taib


Ruangan Komen