Nasional   

DAP serah penyata CEC kepada RoS

pada 07-12-2017 01:12 

Post Pic

 
PUTRAJAYA: Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menyerahkan penyata Pemilihan Semula Kali Kedua Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) di sini, hari ini.
 
Anthony ketika ditemui berkata penyata berkenaan diserahkan kurang dari sebulan bulan selepas CEC kali kedua itu diadakan.
 
Justeru pihaknya berharap RoS dapat mengembalikan status DAP secara sah.
 
Katanya, dokumen yang diserahkan terdiri dari penyata tahunan, penyata kira-kira serta senarai ahli jawatankuasa CEC yang baru.
 
"Pada 27 November lalu, firma audit bebas, Grant Thornton, yang dilantik DAP bagi mengendalikan CEC juga telah menyerahkan audit berkenaan parti ini kepada ROS," katanya pada sidang media selepas menyerahkan penyata CEC kepada ROS di sini, hari ini.
 
Penyata berkenaan diserahkan Anthony kepada wakil ROS, Sharifah Salmah. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Ayer Keroh, Melaka, Khoo Poay Tiong dan Setiausaha Biro Organisasi DAP, Vincent Wu.
 
Pada 12 November lalu DAP mengadakan Pemilihan semula kali kedua Jawatankuasa Tertinggi Pusat selepas ROS tidak mengiktiraf pemegang jawatan utama melalui pemilihan semula pada 29 September 2013.
 
Pemilihan semula diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, iaitu membabitkan 2,576 perwakilan daripada 865 cawangan.
 
Anthony turut menepis tohmahan dari beberapa cawangan mengatakan berlaku ketirisan sewaktu pemilihan CEC diadakan kerana pihaknya mematuhi arahan seperti ditetapkan ROS.
 
Beliau menjelaskan, wakil atau ejen setiap wakil CEC yang bertanding memang tidak dibenarkan berada di dalam pusat pengiraan undi kerana arahan itu turut dikeluarkan pihak ROS.
 
"Kita sudah mengikut semua arahan ditetapkan dan sekiranya mereka tidak berpuas hati boleh berjumpa dengan pihak ROS kerana semua arahan ini dikeluarkan pihak berkenaan, dan semua aduan dikeluarkan itu tidak berasas.
 
"Kertas undi memang tidak dicetak nombor siri kerana tiada arahan ROS dan sekiranya perkara ini diadakan, semua pihak tahu siapa yang undi siapa dan undi bukan lagi rahsia," katanya.


Tags : DAP CEC RoS


Ruangan Komen