Nasional   

Kerjasama Umno-PAS: Penjelasan Najib lenyapkan tohmahan pembangkang

pada 07-12-2017 02:12 
Oleh Nur Atiqah Abdul Samad

Post Pic

 
SHAH ALAM: PAS mengharapkan penjelasan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak hari ini melenyapkan semua tohmahan yang dilemparkan kepada parti itu tentang wujudnya kerjasama politik dengan parti yang berusia 71 tahun itu.
 
Menurut Ketua Dewan Ulama Datuk Mahfodz Mohamed, meskipun PAS acapkali memberitahu bahawa kerjasama itu hanya kepada soal Islam dan perpaduan ummah tetapi persepsi itu kerap dijadikan modal Pakatan Harapan (PH) dalam usaha menggugat parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.  
 
"Mengenai hubungan dalam politik memang selama ini persepsi, PAS banyak kali jelaskan pada setiap ceramah dan dalam media sosial (bahawa) menyatakan memang tiada hubungan politik dengan Umno. 
 
"Sebab itu kita pernah beritahu PAS kan bertanding di mana sahaja Umno bertanding. Jadi harap-haraplah dengan penjelasan Najib tu maka akan hilanglah persepsi itu," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi, perdana menteri menengaskan bahawa hubungan yang terjalin antara Umno dan PAS hanyalah sekadar demi kepentingan ummah dan Islam sejagat.
 
Pendirian Najib hari ini sekaligus menolak parti itu akan menjalin kerjasama politik dengan PAS.
 
Sebelum ini hubungan Umno-PAS kerap kali dicanang pemimpin pembangkang akan wujudnya hubungan politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Perhimpunan Agung 2015 menyaksikan Najib berjiwa besar dan melamar PAS untuk bekerjasama politik dengannya buat kali pertama.
 
Rentetan itu Umno sering kali dilihat bersama-sama PAS dalam majlis yang menyentuh perihal Islam sejagat dan kepentingan ummah.
 
Kesepakatan Umno dan PAS berada di 'pentas' sama dapat dilihat dalam isu kemanusiaan etnik Rohingya di Myanmar.
 
Kerjasama itu hanya berlandaskan isu kemanusiaan yang menjurus ke arah kebaikan.
 


Tags : Umno-PAS Najib


Ruangan Komen