Nasional   

Umno rancang anjur himpunan solidariti terhadap Palestin [TONTON VIDEO]

pada 07-12-2017 03:12 
Oleh Athirah Hanapiah

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Selain PAS, Umno juga akan mengadakan satu himpunan solidariti bagi menyatakan keprihatinan dan sokongan terhadap rakyat Palestin, selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertindak mengangkat Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
 
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu dijangka akan membuat satu rundingan bersama-sama parti lain dari luar Umno dan Barisan Nasional (BN), berserta dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan perkara berkenaan. 
 
"Kita melalui Umno, kita akan berunding dengan rakan-rakan kita, parti-parti lain di luar Umno dan BN untuk bersama-sama dgn NGO bagi kita mengadakan sebuah perhimpunan solidariti bagi bersama-sama mendokong keprihatinan terhadap rakyat palestine di dalam menghadapi cabaran yang paling besar ini," katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangnan Dunia Putra (PWTC), pagi tadi.
 
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump hari ini mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
 
Pada masa sama, beliau mengumumkan pelan memindahkan pejabat kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
 
Bagaimanapun Trump mengakui pengiktirafan ini tidak akan mengubah status quo Baitulmaqdis sebagai kota suci kepada tiga agama.
 
Susulan daripada tindakan Trump tersebut, PAS melalui Dewan Pemudanya akan mengadakan satu demonstrasi jalanan bagi membantah pengiktirafan yang diberikan Trump itu, esok.
 
Mengulas perkara itu, Zahid menyatakan bahawa Umno akan menyokong himpunan yang diadakan rakan partinya itu dengan menghantar beberapa wakil Umno ke demonstrasi tersebut.
 
"Kita akan menyokong usaha mereka (PAS) dengan menghantar beberapa wakil Umno yang tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan agung Umno kali ini," ujarnya lagi.
 
Dalam pada itu, Zahid juga turut menyatakan kekhuatirannya terhadap keputusan yang dibuat oleh Trump itu terhadap dunia khususnya negara di Timur Tengah.
 
Katanya, tidak mustahil akan berlaku semula pergolakan di negara timur tengah tersebut, malah lebih merisaukan katanya, mungkin akan berlaku satu bantahan yang dasyat, melibatkan kumpulan-kumpulan ekstrim.
 
"Kekhuatiran saya ialah apabila perkara ini berlaku, akan berlaku semula pergolakan politik di timur tengah.
 
"Bukan itu sahaja, oleh kerana negara-negara apabila juga negara-negara Islam juga berasa senstif terhadap pemindahan ibu negara palestine ini, saya fikir orang-orang Islam tidak akan pernah berdiam diri untuk bukan hanya memprotes membantah, tetapi saya khuatir jika mereka yang berada di dalam kumpulan ekstrim mengambil tindakan-tindakan yg kita tidak pernah jangkakan," katanya.
 
Isu Palestin dekat dihati BN
 
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menentang sekeras-kerasnya keputusan yang dibuat oleh presiden Amerika Syarikat itu.
 
Ujarnya, bukan sahaja menentang sebagai umat Islam, tetapi isu Palestin itu sendiri sebenarnya dekat dengan perjuangan serta kelangsungan Umno dan BN selama ini.
 
"Kenyataan, tindakan, keputusan presiden Trump dan Amerika Syarikat bukan sahaja kita tidak persetujui tapi kita tentang.
 
"Ini merupakan sesuatu yang mesti disemarakkan bukan sahaja kita sebagai umat Islam, melayu tetapi dari dahulu lagi isu Palestin ini cukup dekat dengan hati kita dalam perjuangan kelangsungan Umno dan juga sedikit sebanyak dalam konteks BN," kata beliau.
 
Dalam pada itu, mengulas mengenai jangkaan parti itu dalam mendapatkan sokongan majoriti rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, beliau berkata tidak mustahil bagi Umno-BN untuk mendapatkan undi lebih daripada dua-pertiga.
 
Katanya, walaupun sukar namun ia boleh berlaku sekiranya setiap perwakilan dan ahli Umno mengekalkan momentum dalam memastikan BN sekali lagi mentadbir negara. 
 
"Berdasarkan daripada rekod kita, laopran yang kita lihat menujukkan parti kita masih sedang dalam keadaan stabil, dan kita harap rakyat akan terus menyokong kita. 
 
"Ia mungkin tidak mudah untuk kita bergerak ke hadapan, tetapi tidak mustahil untuk kita meyakinkan rakyat dan mencapai 2/3 majoriti," ujarnya.
 
-na-

 



Tags : Umno himpunan Palestin


Ruangan Komen