Nasional   

MCA yakin mampu raih sokongan masyarakat Cina pada PRU14

pada 07-12-2017 03:12 
Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: MCA yakin parti itu mampu untuk bangkit dan meraih kembali sokongan masyarakat Cina di negara ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak juga menyentuh peranan Umno yang menunjangi Barisan Nasional (BN), mencerminkan bahawa parti itu mampu untuk memimpin komponen lain supaya meraih kemenangan bergaya pada PRU14 nanti.
 
"Ucapan yang bersemangat mencerminkan seorang negarawan, saya lihat ucapan Presiden Umno yang mementingkan negara untuk masa depan anak cucu kita. 
 
"Saya rasa ini adalah ucapan yang cukup baik dan komprehensif memberikan semangat yang baru kepada semua ahli Umno dan juga parti komponen BN untuk bangkit dan bersiap sedia untuk menghadapi PRU akan datang," katanya kepada pemberita selepas ucapan Dasar Presiden Umno, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.
 
Dalam pada itu Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata, MCA telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU14 dengan segala persiapan telah direncanakan, termasuk soal pemilihan calon. 
 
"Kami (MCA) tengah bersiap untuk berperang dalam PRU14 nanti, kami sentiasa turun padang, dan pastikan calon yang kita kemukakan adalah calon yang disukai rakyat," katanya lagi. 
 
Sementara itu Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata Najib dalam ucapan dasarnya menyentuh mengenai konsep nasionalisme, yang mana kesemua parti komponen di negara ini terangkum di bawah satu payung untuk terus memacu pembangunan negara. 
 
"Pendirian kerajaan BN dalam membawa semua masyarakat yang ada dalam Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama bersama di bawah payung BN, melalui bagaimana kita bangunkan negara ini. 
 
"Dan melalui pelbagai contoh yang benar dan bernas, membuktikan bahawa apa yang dibuat oleh BN daripada konteks pembangunan negara, dibandingkan dengan kenyataan dikeluarkan pembangkang yang kelirukan rakyat, dan ia satu pembohongan," katanya.
 
-na-
 


Tags : MCA masyarakat Cina PRU14


Ruangan Komen