Nasional   

Isu Palestin juga jadi perhatian Umno, kata MT

pada 07-12-2017 04:12 
Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan M Azhar

Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Pendirian yang disuarakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang menolak sekeras-kerasnya usaha menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, membuktikan parti itu juga memperjuangkan isu dunia yang melibatkan kepentingan umat Islam.
 
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, Najib mengutarakan pendirian tegasnya dalam mesyuarat Majlis Tertinggi pada malam tadi, yang mana beliau nyatakan akan menentang usaha mencemar kedaulatan Al-Aqsa, secara habis-habisan. 
 
"Ia dibincangkan dalam mesyuarat MT, Presiden buat pendirian tegas bahawa kita akan menentang usaha yang boleh ditafsirkan mencemarkan kedaulatan Al-Aqsa,"katanya kepada pemberita selepas ucapan dasar presiden berakhir sebentar tadi.
 
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pendirian Najib mewakili suara rakyat Malaysia dan umat Islam secara keseluruhannya.
 
"Ketegasan Perdana Menteri amat didambakan kita semua. Saya kira ini bukan isu umat Islam semata-mata, kita kena ingat bahawa kita sebagai sebuah negara yang harus mempertahankan prinsip keadilan. 
 
"Kita mahukan isu Palestin diselesaikan secara perundingan dan agenda ini masih berterusan. Mengapa dalam keadaan dunia masih mencari formula terbaik untuk menyelesaikan masalah Palestin, tiba-tiba pula ada tindakan provokatif yang tidak menguntungkan dunia," kata beliau.
 
Tambah Asyraf, pengiktirafan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump itu juga hanya akan mencetuskan tindakan radikalisme yang lebih dahsyat daripada umat Islam serata dunia.
 
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Idris Haron berkata, kesemua pemimpin dan ahli Umno juga sebulat suara menyokong pendirian dan berdiri di belakang Presiden.    
 
"Alhamdulillah presiden parti telah ambil satu ketetapan dan disokong secara padu oleh semua perwakilan, apa yang dicadang oleh Presiden Trump ditolak mentah-mentah dan kita lahirkan suara kita dalam perhimpunan terbesar umat Melayu Islam," ujar beliau.
 
Trump hari ini mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
 
Pada masa sama, beliau mengumumkan pelan memindahkan pejabat kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
 
Bagaimanapun Trump mengakui pengiktirafan ini tidak akan mengubah status quo Baitulmaqdis sebagai kota suci kepada tiga agama.
 
-na-



Ruangan Komen