Nasional   

PAU2017: Perwakilan cadang Zahid dilantik Timbalan Presiden Umno

pada 07-12-2017 05:12 
Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar, Shuhaniza Said & Athirah Hanapiah

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicadang supaya terus dilantik sebagai Timbalan Presiden Umno selepas jawatan itu dikosongkan sejak Jun 2016.
 
Ia berikutan tindakan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan itu selepas bekas timbalan perdana menteri itu aktif berkempen bersama pembangkang.
 
Zahid yang juga Naib Presiden Umno kemudiannya memangku jawatan berkenaan, sementara Muhyiddin pula menyertai pembangkang dan kini menjadi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Ketika membahas ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno kali ke-71, Pemuda Umno Bahagian Rompin, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz mencadangkan Zahid terus dilantik ke jawatan kedua tertinggi parti itu tanpa melalui pertandingan jawatan.
 
"Saya juga mencadangkan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak di pertandingkan pada pemilihan parti kali ini sebaliknya melantik Zahid sebagai timbalan presiden.
 
"Atas semangat kekeluargaan, Pemuda juga berpendapat Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein harus dikekalkan jawatannya sebagai naib presiden paling kanan," katanya.
 
Turut menyokong cadangan itu adalah Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.
 
"Datuk Seri Najib Tun Razak memerlukan seorang panglima tentera untuk mengetuai jentera perang dalam persiapan kita menghadapi PRU14," katanya.
 
Begitu juga disuarakan oleh Ketua Umno Bahagian Marang, Abdul Latif Awang.
 
“Kalau timbalan atau naib (sikap) tak baik, hancur kita. Kita sokong usul Pemuda Umno bahawa jawatan timbalan tak perlu dipertandingkan,” katanya. 
 
-na-



Ruangan Komen