Nasional   

Polis mungkin siasat kenyataan Zaid Ibrahim terhadap Sultan Selangor

pada 07-12-2017 05:12 

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun tidak menolak kemungkinan menyiasat kenyataan bekas menteri Zaid Ibrahim terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
 
Menurut Mohamad Fuzi, sekiranya siasatan dijalankan, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 233 di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
 
"Ia bergantung (sama ada akan disiasat)..saya dimaklumkan terdapat laporan polis yang dibuat mengenai pekara ini.
 
"Semestinya kita perlu siasat, mungkin di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 233 SKMM punya perundangan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Tabung Prihatin Pengaman Yayasan Pengaman Malaysia di Pulapol, Kuala Lumpur.
 
Baru-baru ini, Sultan Selangor dilaporkan sekali lagi menegur sikap biadab Zaid, berhubung kritikan terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
 
Fuzi bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan lebih lanjut mengenai jumlah aduan yang diterima berhubung perkara itu.
 
"Saya belum menerima maklumat terperinci setakat ini. Bahkan, sebelum sampai ke sini pun (acara majlis), saya telah menyemaknya. Mungkin lepas ni saya akan dapatkan maklumat keseluruhannya. Buat masa ini saya tak dapat dedahkan lebih dari itu," katanya.
 
Sultan Sharafuddin dalam satu wawancara khas dengan The Star sebelum ini menegur Dr Mahathir yang sebelum ini menghina etnik Bugis dengan menyifatkan ahli politik veteran itu sebagai pemimpin yang mempunyai “kompleks rendah diri” dan diselubungi perasaan kebencian di mana “jika beliau marah, ia akan membakar seluruh negara".
 
Zaid kemudian mempertikaikan teguran Sultan Sharafuddin dengan berkata “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar”.
 
Sementara itu, beliau turut mengulas isu mengenai Pengerusi Barisan Nasional Selangor Noh Omar yang dilaporkan akan mengadakan demo "Himpunan Rakyat Daulat Tuanku" pada Ahad ini di hadapan istana di Shah Alam bagi mempertahankan institusi diraja.
 
Fuzi berkata "kawalan aman" berhubung himpunan itu akan tetap dijalankan.
 
Tambahnya, pihaknya juga tidak pasti sama ada demo berkenaan akan diadakan atau tidak.


Tags : Polis Zaid Ibrahim Sultan Selangor


Ruangan Komen