Komentar   

Mahfuz tidak jujur menjadi 'jambatan' PAS-PH?

pada 04-01-2018 11:01 
Oleh Lokman Ramlee

Post Pic

 
[ULASAN] Kini Datuk Mahfuz Omar hidup bergelut dengan kata hatinya sendiri. Beliau akan sentiasa terpaksa melayan gejolak batinnya sendiri. Apakah tindakannya meninggalkan jemaah PAS melanggar sumpah atau tidak?
 
Adakah sumpah bai’ahnya sebelum ini berkuatkuasa jika beliau sekadar keluar PAS dan menyertai parti lain atau meninggalkan PAS sahaja sudah cukup dirumuskan sebagai mengkhianati bai’ah yang dibuat sebelum pilihanraya umum ke-13 lalu?
 
Namun, hakikatnya secara sedar ahli parlimen Pokok Sena itu telah melanggar janji pada Allah bahawa apabila terpilih sebagai wakil rakyat PAS beliau tidak akan meninggalkan jemaah berkenaan apatah lagi untuk menyertai parti politik lain. 
 
Persoalan ini ditimbulkan oleh Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin sebagai mengulas tindakan Mahfuz meninggalkan PAS hujung tahun lalu. Namun beliau menganggap tindakan Mahfuz langsung tidak memberi kesan kepada PAS.
 
Sebaliknya, kata beliau, Mahfuz perlu bertanggungjawab perbuatannya mengkhianati janji dengan Allah. Ini mungkin menyebabkan segala pendapatan Mahfuz sebagai wakil rakyat dikhuatiri menjadi haram selain mungkin dilaknat Allah kerana melanggar bai’ah.
 
"Di dalam Islam wajib kita taat pada bai'ah yang dilafazkan sebab itu janji seseorang itu dengan Allah. Apa sekalipun kita tidak halang, terpulang kepada beliau (Mahfuz) kerana itu tanggungjawabnya dengan Allah," katanya
 
Ahad lalu, Mahfuz yang menjadi ahli PAS sejak 12 Mac 1984 mengumumkan keluar PAS berkuatkuasa jam 11.59 malam dan berkhidmat sebagai wakil rakyat bebas sehingga pengumuman Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dibuat.
 
Mahfuz menghantar e-mel pemberhentiannya kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan memberi alasan “kegagalannya menjadi 'penghubung' di antara gabungan pembangkang dan PAS” sebagai punca meninggalkan PAS.
 
Turut keluar PAS ialah isteri beliau, Datin Ruswati Jaafar, 58, dan anaknya, Siti Nur Syahidah, 30, manakala anak lelakinya, Muhammad Mujaheed, 35, sudah keluar parti itu setahun lalu.

DAP rai keputusan Mahfuz
 
Mungkin yang menggalakkan Mahfuz meninggalkan PAS adalah rakan-rakan pembangkang seperti DAP. Malah parti itu dalam meraikan keputusan Mahfuz itu menyatakan tindakan Mahfuz wajar kerana “perjuangan PAS yang semakin sesat”.
 
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata tindakan Mahfuz kerana kecewa PAS kini dilihat mesra Umno-Barisan Nasional (BN).
 
"Jelas di sini bahawa Mahfuz hendak memastikan ada satu pakatan pembangkang yang kuat untuk melawan BN. Kerana, sudah nampak dari segi politik perjuangannya, politik PAS sesat. Sesat sampai dipuji oleh Umno.
 
"Kalau anda dari politik ini, di mana pembangkang dipuji baik oleh parti pemerintah, maka lingkuplah," kata Guan Eng pada sidang media Isnin lalu. 
.
Ini mengundang reaksi tegas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim yang mengingatkan DAP usah masuk campur urusan PAS.
 
Katanya, dasar parti pimpinan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu juga ada kekurangannya sehingga ada segolongan ahli dan pemimpin yang bertindak keluar DAP.
 
“Bagi kita tindakan beberapa tokoh DAP keluar parti di Johor, Melaka; jika dilihat apa yang dibuat oleh DAP itu mencerminkan tindakan DAP sendiri diprotes oleh ahli-ahli mereka dan keluar parti, menyerlah sikap cauvanis, perkauman," katanya.
 
"Komen DAP (Guan Eng) lari dari apa yang Mahfuz sebutkan. Jika kita lihat kenyataan Mahfuz, tiada kena-mengena dengan PAS sesat, makin jauh... Bagi PAS, itu hak peribadinya. 
 
“Kita tahu Mahfuz sudah lama buat kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti. Ini bukan perkara baru. Semua maklum beliau akan umum (keluar parti).
 
"Sikap DAP yang menentang dasar-dasar yang dibawa PAS semakin menyerlah dengan kenyataan beliau. Sebab itu PAS ambil keputusan bahawa tindakan DAP selama ini menjadi punca kepada sikap tak hormat kepada dasar yang diperjuangkan oleh PAS," ujarnya.
 
Mahfuz akhirnya jadi 'anak jantan'
 
Reaksi kepimpinan tertinggi PAS nampaknya agak senada. Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata tindakan Mahfuz itu membuktikan beliau adalah ‘anak jantan’ dan bukannya 'pondan Siam'.
  
"Saya ucap tahniah kepada Mahfuz Omar kerana menjadi anak jantan dan bukan lagi pondan Siam,” katanya walaupun mendakwa Mahfuz, sekian lama menjadi ‘duri dalam daging PAS’.
.
Malah seorang lagi Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menyifatkan 'tiada nilai berita' di sebalik pengumuman Mahfuz keluar parti itu.
 
"Tak ada komen apa berkenaan dia, pada saya tak ada nilai berita (tentang) apa yang dia hendak buat," katanya.
 
Adalah dijangka dalam waktu terdekat ada beberapa pemimpin kecil PAS lain melompat keluar PAS. Seperti karenah Mahfuz, mereka dilihat cenderung menyertai aktiviti pembangkang lain. 
 
Mungkin digalakkan oleh bekas ahli-ahli PAS yang menyertai pembangkang, pengikut Mahfuz ini mungkin “terdesak dan bimbang” tidak akan terpilih menjadi calon PAS sekali lagi. Mereka percaya lawan PAS seperti Amanah dan PKR akan menerima mereka. 
 
Bagaimanapun persoalannya, adakah ahli-ahli PAS yang mengundi mereka pada pilihan-pilihanraya lalu akan memangkah mereka dalam PRU akan datang? Mereka mahu rakyat menghukum kerajaan sedia ada tetapi tidakkah mungkin keadaan sebaliknya berlaku?
 
Nampaknya sikap politik Mahfuz adalah bak burung pegar. Beliau mengaku menjadi “penghubung” PAS dengan parti pembangkang lain. Bagaimanapun kini terbukti si-pegar yang makan padi.
 
Sepatutnya jika gagal jadi jambatan PAS-PH, Mahfuz kembali pada PAS. Sebaliknya, beliau meninggalkan PAS. Bagaimanapun PAS nampaknya pun tidak berminat dengan Mahfuz. Biarlah dia bergelut rasa batinnya atau dimakan sumpah. 
 


Tags : Mahfuz PAS-PH


Ruangan Komen