Nasional   

Sejarah Permatang Pauh tak berulang di Pagoh, kata MB Johor

pada 12-08-2017 05:08 

Post Pic

 
 
 
PAGOH: Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan konflik Umno Bahagian Pagoh tidak menyerupai apa yang pernah berlaku di Permatang Pauh.
 
Beliau juga yakin ahli-ahli Umno Bahagian Pagoh bijak mengendalikan krisis yang berlaku semenjak Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari parti dan kini memimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
"Krisis yang melanda (Umno) Pagoh tidak merebak. Ia hanya sementara dan telah reda. Kita tidak melihat berulangnya kelumpuhan seperti Umno di Permatang Pauh 20 tahun dahulu," demikian memetik sebahagian ucapannya di hadapan perwakilan Umno Bahagian Pagoh, hari ini.
 
Kerusi Permatang Pauh merupakan kerusi sinonim dikaitkan dengan PKR semenjak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan Umno pada 1998.
 
Kini kerusi itu disandang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR selepas Anwar menjalani hukuman penjara kerana kesalahan meliwat.
 
"Pagoh tahu keutamaan mereka. Pagoh tidak mudah dihanyutkan oleh isu. Pagoh bukan bahagian yang merajuk-rajuk panjang dan mengamuk membuta tuli.
 
"Sebaliknya, Umno Pagoh tahu dalam perjuangan, kesetiaan pada perjuangan itu mutlak. Ia tidak boleh dikompromi. Ia tidak boleh dijual beli dan ditukar ganti," katanya.
 
Terlebih dahulu Mesyuarat Umno Bahagian Pagoh dirasmikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
Khaled dalam pada itu menegaskan Johor yang dipimpinnya akan kekal dalam nilai-nilai Islam dan tidak akan sesekali terperangkap dengan agenda liberal DAP.
 
"Kita tidak mahu jadi Pulau Pinang kedua dan Johor bukan Pulau Pinang kedua yang kehidupannya dihambat dengan pemikiran liberal yang menghilangkan identiti bangsa dan agama.
 
"Jadi, kita tidak akan pelik mengapa sejak akhir-akhir ini, DAP dan konco-konconya semakin rancak menyerang kita," ujarnya lagi.
 
Menteri besar itu juga menambah DAP menyerlahkan sikapnya yang memperlekehkan kaum Melayu seperti tidak berfikir dan pendek akal.
 
"DAP dan konco-konconya ingat orang Melayu boleh diperdayakan dengan ajakan untuk menyokong dasar yang melawan arus tersebut.
 
"Dasar baru yang kononnya dan perlu kerana negara kita sudah rosak, sudah muflis, sudah tidak berfungsi lagi," katanya.
 
 
-ai-


Tags : Umno Pagoh Permatang Pauh


Ruangan Komen