Nasional   

Najib: Kerajaan tak pernah dera negeri pembangkang

pada 12-08-2017 06:08 

Post Pic

 
JELI: Kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mendera negeri-negeri yang ditadbir pembangkang khususnya Kelantan.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kegagalan BN untuk menguasai negeri berkenaan tidak boleh dijadikan sebab untuk kerajaan menyimpan dendam. 
 
"Sebagai pemimpin saya perlu berlaku adil kepada rakyat sama ada mereka menyokong BN ataupun tidak.
 
"Sekurang-kurangnya walaupun tak dapat undi, saya dapat pahala di akhirat. Semoga dengan usaha ini kita dapat majukan negara kita," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Jeli hari ini.
 
Tambah Najib, rakyat Kelantan akan terus  mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik apabila Hospital Bachok dan Hospital Kuala Krai siap dalam masa terdekat, sekali gus menjadikan kesemua 10 jajahan di negeri itu mempunyai hospital masing-masing.
 
Sementara itu, bangunan tambahan baharu di Hospital Jeli yang bernilai RM57 juta tersebut membolehkan hospital berkenaan menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik, moden dan lengkap kepada 47,000 penduduk di jajahan berkenaan.
 
Bangunan tambahan itu yang siap dibina tahun lepas menyediakan tambahan 56 katil menjadikan jumlah keseluruhan katil di Hospital Jeli sebanyak 80 katil.
 
Perkhidmatan lain yang termasuk tambahan dua lagi wad menjadikan empat wad keseluruhan, dua dewan bedah, kemudahan rawatan dan diagnostik, unit patologi dan tabung darah, unit sokongan steril pusat, rekod perubatan yang lengkap dengan kemudahan teknologi maklumat selain pertambahan 80 lot tempat letak kenderaan untuk kemudahan orang ramai.
 
 
 
 
-sh-


Tags : Najib negeri pembangkang


Ruangan Komen