Nasional   

Bolt akhiri karier pelari pecut dengan penuh duka

pada 13-08-2017 11:08 

Post Pic

 
 
LONDON: Cubaan pelari pecut, Usain Bolt untuk mengakhiri karier dengan gemilang bertukar kekecewaan apabila dia mengalami kekejangan otot ketika menjadi pelari terakhir acara 4x100m di Kejohanan Olahraga Dunia, awal pagi tadi.
 
Bolt menerima baton ketika pasukan Jamaica berada di kedudukan ketiga, namun ketika dia menghampiri jarak 50m sebelum penamat, pelari itu tiba-tiba memegang paha kiri dan berpusing secara somersault.
 
Kejadian tersebut mengejutkan lebih 60,000 penonton di Stadium London.
 
Doktor pasukan Jamaica, Dr Kevin Jones berkata Bolt mengalami 'kekejangan otot di hamstring kiri'.
 
“Namun lebih banyak kekecewaan kerana kalah perlumbaan itu.
 
“Tiga minggu terakhir sukar buatnya. Kami mendoakan yang terbaik untuknya,” ujar Jones.
 
Rakan sepasukan, Julian Forte yang juga pelari kedua acara berkenaan memberitahu Bolt kerap meminta maaf atas kekalahan Jamaica yang berpunca dari dirinya.
 
“Dia tidak memberitahu kami apa sebenarnya yang berlaku tapi daripada apa yang saya lihat, ia kelihatan seperti kejang otot atau seumpamanya.
 
“Dia asyik memohon maaf kepada kami tapi kami memberitahunya supaya tidak perlu meminta maaf - kecederaan sebahagian daripada sukan.”
 
Acara itu dimenangi pasukan Britain  dengan catatan masa 37.47 saat, diikuti Amerika Syarikat dengan 37.52 dan Jepun pula di tangga keempat dengan masa 38.04 saat.
 
Bolt terlepas peluang dalam usahanya mengekalkan kejuaraan 100m awal minggu ini, tewas kepada Gatlin dan pemenang pingat perak Christian Coleman, yang menjadi pelari terakhir AS awal pagi tadi.
 
 
-ai-
 


Tags : Usain Bolt pelari pecut


Ruangan Komen