Nasional   

Sudah tiba masanya, Otai Reformis 'semak dan imbang' pemimpin PH, kata bekas setiausaha

pada 13-08-2017 03:08 
Oleh Zeanaaima Md Yusof

Post Pic

DAMANSARA: Sudah tiba masanya untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) politik, Otai Reformis menjadi badan semak dan imbang kepada Pakatan Harapan (PH).
 
Bekas Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata perlu ada pihak ketiga untuk menilai serta menyemak PH, terutama di Selangor memandangkan pemimpin gagasan itu kini tidak lagi berjiwa rakyat.
 
"Saya rasa sudah tiba masanya untuk Otai jadi badan yang pantau operasi seharian kerajaan negeri. Kita kena tegur. Tak logik kerajaan negeri belanjakan kos RM42 juta untuk kubah itu. 
 
"Masa saya kerja di SUK dulu, hampir setiap minggu saya pergi sembahyang di masjid negeri. Tak pernah setitik pun hujan jatuh atas kerpet walau hujan halilintar sekalipun. 
 
"Dalam keadaan ekonomi tak menentu, ramai yang hilang pekerjaan hampir 50 ribu orang kalau saya tak silap. Mana mungkin kita tukar kubah?," kata Razak ketika ditemubual secara eksklusif Antarapos.
 
Razak sebelum ini berkhidmat sebagai  pembantu peribadi kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim.
 
Bukan hanya Razak, banyak pihak sebelum ini mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menaik taraf kubah Masjid Sultan Abdul Aziz Shah dengan kos RM42 juta - suatu nilai yang dikatakan tidak munasabah.
 
Kerajaan negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Azmin Ali juga dipersoal bersabit kos mengecat semula pintu gerbang Darul Ehsan - juga dikatakan tidak munasabah.
 
"Mana mungkin cat (semula kosnya) sampai RM10 juta. Tapi sebagai Otai kita tak boleh nak persoal. Sebab menurut mereka, kerajaan negeri sudah dapat keluluskan DUN.  
 
"Mana mungkin kerja-kerja cat yang kita sudah tanya kontraktor boleh diselesaikann dengan kos RM500 ribu, kerajaan negeri letak harga RM10 juta? Moralnya tak betul," tegas Razak.
 
Atas alasan itulah Razak berpandangan sudah tiba ada satu badan memainkan peranan menegur tindakan atau keputusan PH agar gagasan itu tidak menjadi seperti seteru mereka, Umno Barisan Nasional (BN).
 
"Pembaziran semakin banyak berlaku selepas PH berkuasa selama dua penggal.
 
"Kita semakin nampak, PH sudah mula tidak endah tentang masalah rakyat," ujarnya kesal.
 
Otai Reformis pada mulanya hanya bermatlamat menggerakkan reformasi dan menggesa pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Penjara Sungai Buloh - selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat.
 
Selepas Anwar disabitkan kesalahan sama pada 2015, Otai Reformis mula terlibat secara langsung dalam politik dan menyokong PH. 
 



Ruangan Komen