Nasional   

PAS K'tan terima apa jua keputusan berhubung rundingan dengan PH - Che Abdullah

pada 13-08-2017 03:08 
Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

SHAH ALAM: PAS Kelantan bersedia menerima apa jua keputusan yang akan dibuat pucuk pimpinan berhubung kesediaan membuka kembali pintu rundingan dengan komponen Pakatan Harapan dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
"Bagi PAS Kelantan kita akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat kepimpinan PAS Pusat," kata Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi.
 
Namun beliau menegaskan sebarang percaturan perlu menguntungkan Islam seperti mana dinyatakan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin.
 
"Maksudnya apa-apa keputusan nanti PAS Kelantan akan ikut.
 
"Sama ada ada kenyataan daripada Mursyidul Am atau tidak bagi PAS cukup jelas walau apa sahaja tindakan yang dibuat oleh PAS ialah tindakan yang menguntungkan Islam," katanya kepada Antarapos.
 
Che Abdullah mengulas mengenai respons balas Hashim yang mengatakan PAS masih membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti dengan syarat kerjasama yang terjalin menguntungkan Islam.
 
Hashim berkata sungguhpun partinya tiada lagi hubungan tahaluf siyasi dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan namun rundingan masih boleh dijalankan atas konsep taawun.
 
Terdahulu Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan menyatakan kesediaan untuk berunding dengan PAS dalam mendepani PRU14 akan datang.
 
Menurut Azmin, tindakan itu penting supaya tiada pertembungan sesama pembangkang memandangkan PAS kini bukan sebahagian daripada gabungan berkenaan.
 
Dalam pada itu, Hashim berkata meskipun tahaluf sudah terputus namun PAS sentiasa membawa konsep taawun dalam konteks kerjasama dengan parti lain.



Ruangan Komen