Komentar   

Siasah silam malapkan masa depan politik Malaysia?

pada 17-08-2017 01:08 
Oleh Lokman Ramlee

Post Pic

 
[ULASAN] Kekecohan di forum “Nothing to hide 2.0” di Shah Alam Ahad lalu menimbulkan beberapa persoalan. Antaranya, adakah politik samseng sudah meresapi amalan siasah di negara ini?
 
Adalah dibimbangi dalam Pilihanraya Umum ke-14 kelak unsur ini akan merebak dan membahayakan keselamatan awam serta menggoncang tiang seri demokrasi di negara ini.
 
Ia juga menampilkan realiti bahawa “politik dendam” dan kecenderungan mengkitar semula isu silam demi mencari dimensi baru dalam dunia siasah Malaysia, akan berleluasa.
 
Demi pemugaran amalan politik di negara ini, agenda politik seharusnya dipandu oleh wawasan, perancangan dan ideologi yang jelas bukan berpaut kisah kepetualangan silam yang hanya menghimpun dendam dan memberatkan negara menuju mercu kesejahteraan. 
 
Berikutan kekecohan anjuran Armada PPBM itu, pelbagai pihak mula membuat kenyataan terbuka menyindir dan atau menafikan pihak masing-masing mendalangi musibah itu. 
 
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak sebarang andaian bahawa kekecohan itu mungkin bersumber daripada perancangan ahli partinya sendiri. Dakwaan sedemikian, katanya adalah mengarut dan tidak rasional.
 
"Tidak mungkin kita nak merancang buat kekecohan pada majlis kita sendiri, orang yang mencadangkan perkara seperti itu mungkin tidak rasional.
 
"Ini adalah majlis kita, kita nak jalankan ia dengan cara yang betul dan baik, yang boleh memberikan peluang dan kesempatan kepada Tun (Mahathir) sendiri untuk menjelaskan 
dan sebagainya," katanya.
 
PPBM nafi 'orang dalam' dalangi kekecohan 
 
Penafian Muhyiddin ini mengulangi kenyataan Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman yang menegaskan pencetus huru hara itu bukan ahli Armada meskipun individu berkenaan memakai baju mirip pergerakannya.
 
Forum 'Nothing To Hide 2.0' kecoh apabila hadirin tidak dikenali membaling kerusi dan botol air ke arah pentas ketika Tun Dr Mahathir sedang menjawab soalan hadirin. 
 
Adalah dipercayai kekecohan di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam itu tercetus apabila ada hadirin tidak berpuas hati jawapan yang diberikan Dr Mahathir bersabit peristiwa Memali pada 1985 ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
 
"Dalam tempoh sejam setengah tidak ada masalah walaupun pelbagai isu sensitif dibangkitkan. Malangnya wujud elemen sabotaj yang sistematik. Kami percaya ia ditujukan untuk sabotaj forum ini dan mencederakan Dr Mahathir,” kata Saddiq. 
 
Bagaimanapun Exco Pemuda Umno, Datuk Fathul Bari Mat Jahya segera menyampuk dan menasihati Saddiq berhati-hati membuat kenyataan berhubung dakwaannya itu.
 
"Tak payah kita buat tuduhan kononnya ada strategi nak cederakan Tun Mahathir dan sebagainya. Bagi saya senang sahaja. Lapor pada polis. Biar polis buat siasatan tentang perkara ini.
 
"Bila anda buat kenyataan begitu, ia boleh timbulkan persepsi bahawa ini tentunya (kerja) pihak yang menentang Tun M pada hari ini, kononnya.
 
"Kita tidak tahu siapa orang itu. Adakah dia individu yang geram (dengan Tun Mahathir), atau dia dari kelompok tertentu ataupun dia mungkin ahli keluarga Memali. Itu contoh kita tak tahu," ujarnya.
 
Umno dakwa PPBM sengaja sabotaj untuk raih simpati rakyat
 
Seorang lagi Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menegaskan Pemuda Umno tiada kaitan dengan kekecohan itu dan malah percaya ia dicetuskan penyokong PPBM dan NGO politik, Otai Reformis untuk meraih simpati rakyat.
 
Kekecohan itu dilakukan dengan matlamat 'untuk menampakkan seolah-olah Umno yang melakukan serangan untuk menggagalkan forum itu’, ujar Armand.
 
"Yang buat kecoh adalah geng Reformis dan Exco Armada Bunga (PPBM), bukannya Armand Exco Pemuda Umno Malaysia. Bagi saya, ini sebahagian taktik lapuk meraih simpati rakyat. 
 
“Saya yakin pihak Pakatan Harapan akan menjaja isu ini sebagai sebahagian kempen raih simpati rakyat sebelum menghadapi PRU14. Forum Nothing To Hide bagi saya gagal daripada segi penganjuran dan hanya sebagai taktik lapuk PH," ujarnya.
 
Setakat ini polis sudah menahan 10 pemuda untuk membantu siasatan.
 
Namun, yang paling mengujakan ialah apabila Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Awang ‘masuk campur’ dengan memberi perspektifnya sendiri berhubung isu ini.
 
Tun M gagal jawab punca kecoh 
 
Beliau beranggapan kekecohan terjadi kerana penjelasan Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan tragedi Memali tidak memuaskan hati hadirin.
  
"Terima kasih diucapkan kepada mereka yang meminta penjelasan berkenaan peristiwa Memali. Kepada yang tidak mampu menjawab (Dr Mahathir) sepatutnya tidak marah dan orang lain tidak membuat kekecohan. 
 
"Anak-anak muda sahaja tidak sepatutnya dipersalahkan, sepatutnya juga dipersalahkan (pihak) yang menjadi penyebabnya," ujar Hadi.
 
Mengimbau tragedi Memali, Hadi berkata ahli PAS dipersalahkan namun tidak pula pihak yang mencetuskan provokasi sehingga terjadinya peristiwa itu.
 
"Ketika itu Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya dipersalahkan, bukan pula dipersalahkan orang yang selalu menghina Islam dan hukumnya yang sangat dimarahi oleh Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan.
 
"Ramai kakitangan kerajaan, polis dan Umno tidak bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan sehingga mengorbankan polis yang dipaksa," ujarnya.
 
Ustaz Ibrahim bersama 13 rakannya dikatakan dikepung pihak berkuasa dan ditembak mati di perkampungan Memali. Turut terkorban empat orang anggota polis.
 
Ulama PAS menyifatkan korban tragedi Memali adalah 'mati syahid' kerana dikatakan dibunuh pemerintah yang zalim.
 
Tun M enggan ungkit 'dosa' lama
 
Dr Mahathir ketika menjawab isu berkenaan berkata, "empat polis dibunuh dengan tangan mereka (pemimpin PAS), balasannya dengan cara itu (bunuh kembali). Itu adalah SOP”.
 
Jawapan santai begitu mungkin memicu kekecohan. Sebelum itu Dr Mahathir dilihat “meremehkan” isu besar bagi pihak penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menguis pertanyaan berhubung “penganiayaan” Mahathir terhadap mantan timbalannya itu. 
 
"Semua orang banyak dosa. Kalau ungkit benda lama ia akan pecah belahkan kita. Kalau kita nak menang kita bersatu. Jangan soal tentang perselisihan faham antara kita. Fokus kepada objektif," kata Mahathir. 
 
Beliau mengupas tindakannya memecat Anwar dari Umno dan kerajaan yang disusuli dengan pemenjaraan Anwar pada 1998. Sehingga kini penyokong tegar Anwar menganggap Dr Mahathir dalang konspirasi politik menjatuhkan Anwar.
 
Justeru wajarlah titah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menegur  segelintir masyarakat yang sering berdebat secara tidak beradab mengenai isu-isu sensitif di laman sosial semata-mata kerana perbezaan ideologi sempit atau kepentingan diri. 
 
Baginda bertitah, perdebatan mengenai kemuliaan agama Islam, kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan kaum serta hukum agama di alam maya, sering mengundang tafsiran negatif.
 
Teguran juga ditujukan pada golongan ilmuan agama yang sering mengeluarkan fatwa, tuduh menuduh dan berdebat di ruang maya sehingga masyarakat berpecah belah.
 
“Senario ini menjadi virus yang memporak-peranda dan mengelirukan rakyat, memecah belah serta mengkucar-kacirkan ukhwah yang selama ini terjalin indah.
 
“Apatah lagi pimpinan politik dan individu berkepentingan mengambil kesempatan untuk mewujudkan suasana tidak harmoni sekali gus menghangatkan lagi permusuhan dan polemik sesama umat Islam,” titah Baginda.
 


Tags : Politik Malaysia


Ruangan Komen