Nasional   

Dr Kunaseegaran 'perancang' pembunuhan Kevin Morais

pada 20-09-2017 08:09 

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Pakar Patologi Kolonel Dr R. Kunaseegaran adalah “perancang” dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu.
 
Pegawai Penyiasat kes pembunuhan itu, ASP Wan Abdullah Wan Said, 40, yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berkata berdasarkan teori daripada hasil siasatan yang dijalankannya sepanjang menyiasat kes pembunuhan itu mendapati hanya Dr Kunaseegaran yang mempunyai motif untuk membalas dendam terhadap Morais.
 
"Apabila dilihat semua tertuduh lain, mereka tidak mempunyai masalah dengan mendiang, sebaliknya hanya Dr Kunaseegaran saja ada urusan dan masalah dengan mendiang. Siasatan teori saya menyatakan beliau (Dr Kunaseegaran) merancang sesuatu dengan S. Ravi Chandaran (tertuduh ketujuh).
 
"Dr Kunaseegaran memang ada asas untuk jadi mastermind kes bunuh ini sehingga tertangkapnya rakan jenayah yang lain. Saya sebagai IO (pegawai penyiasat), ini teori saya, konklusi yang saya cuba kaitkan," katanya ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin pada perbicaraan kes bunuh itu.
 
Kepada soalan Saiful Edris mengenai adakah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan adanya pertengkaran antara Morais dan Dr Kunaseegaran, boleh mengukuhkan teori itu, saksi pendakwaan ke-70 berkata tiada, namun siasatannya jelas menunjukkan ketidakpuasan hati Dr Kunaseegaran terhadap Morais.
 
Saksi terakhir itu berkata ketidakpuasan hati Dr Kunaseegaran itu bukan sekadar berdasarkan pertuduhan tambahan yang dikemukakan Morais terhadap Dr Kunaseegaran di Mahkamah Sesyen Shah Alam, tetapi pernah dinyatakan oleh seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang dimarahi pakar patalogi itu ketika menyampaikan waran kepadanya di Mahkamah Sesyen sebelum ini.
 
Menjawab soalan Saiful mengenai kenyataan saksi itu ketika pemeriksaan balas sebelum ini yang menyatakan tidak ada penglibatan Dr Kunaseegaran, Wan Abdullah menjelaskan jika melihat melalui rakaman CCTV di tempat kejadian, Dr Kunaseegaran seolah-olah tidak terlibat kerana tiada langsung di kesemua tempat kejadian.
 
"Pada asasnya kalau ikutkan CCTV di semua tempat kejadian, tidak nampak penglibatan atau imej Dr Kunaseegaran. Begitu juga dengan perhubungan (melalui) telefon, namun penglibatan boleh berlaku melalui arahan yang boleh disampaikan secara lisan. Beliau masih lagi boleh beri arahan secara lisan atau lain-lain cara (kepada tertuduh lain)," katanya mengakhiri prosiding perbicaraan hari ini.
 
Saiful kemudian memaklumkan kepada mahkamah pihak pendakwaan menutup kes itu selepas mendengar keterangan daripada 70 saksi pendakwaan sepanjang 57 hari perbicaraan berlangsung.
 
Beliau turut memaklumkan 65 individu ditawar menjadi saksi pembelaan.
 
Hakim Azman Abdullah menetapkan 25 Oktober untuk hujahan bertulis, 1 November untuk hujahan balas dan 6 hingga 8 November untuk klarifikasi.
 
Lima lelaki iaitu R. Dinishwaran, 25; A.K. Thinesh Kumar, 24; M. Vishwanath, 27; S. Nimalan, 24; dan Ravi Chandaran, 46, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.
 
Dr Kunaseegaran, 54, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan lima lelaki itu dalam pembunuhan Morais di tempat, tarikh dan masa sama. 


Tags : Perancang Kevin Morais


Ruangan Komen