Nasional   

Pakatan Umno-PAS boleh timbulkan keraguan masyarakat terhadap PAS, kata Idris

pada 12-10-2017 01:10 
Oleh Shuhaniza Said

Post Pic

 
SHAH ALAM: Idea mewujudkan pakatan pilihan raya Umno-PAS sebagaimana yang disuarakan Umno hanya bertujuan untuk memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan ahli PAS.
 
Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad berkata ucapan sedemikian dilihat bertujuan menimbulkan keraguan ahli dan masyarakat terhadap parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.  
 
Beliau juga menegaskan, rundingan pakatan pilihan raya antara PAS-Umno tidak akan terjadi kerana PAS konsisten dengan pendirian untuk bersama Gagasan Sejahtera (GAGASAN) dalam mendepani pilihan raya umum akan datang.  
 
"Kita hanya (bersama) Gagasan Sejahtera, tidak bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
 
"Dia (Umno) pun mahu bertanding di Kelantan. Ini semua ucapan-ucapan untuk pecah belahkan ahli PAS saja, dia mahu timbulkan keraguan ahli PAS dan masyarakat terhadap PAS saja," katanya kepada Antarapos. 
 
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa dalam satu  sesi dialog "Anda Tanya Kita Jawab" di Kuala Lumpur malam tadi berkata parti itu telah memberi lampu hijau kepada presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak dalam mengadakan rundingan pakatan pilihan raya dengan PAS.
 
Annuar yang dipetik The Star berkata bahawa ini adalah kali pertama idea mengenai pakatan antara kedua-dua parti itu.
 
Annuar dilaporkan sebagai berkata bahawa segala-galanya kelihatan positif sekarang.
 
Beliau juga percaya usaha itu akan membuahkan hasil jika pakatan sedemikian disokong oleh ramai orang Melayu yang prihatin terhadap perpaduan Melayu.
 
Malah minggu lalu, Annuar juga membayangkan bahawa Umno dan PAS akan bekerjasama, kerana menurutnya kedua-dua parti itu mempunyai 'DNA yang sama', iaitu memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.  
 
"Itulah tujuannya, untuk menunjukkan dia baik," kata Idris merujuk kepada reaksi Umno terhadap PAS mutakhir ini.
 
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menambah, PAS sebagaimana yang ditegaskan sebelum ini berpendirian untuk bekerjasama dengan Umno berkaitan perkara-perkara yang membabitkan kepentingan Islam semata-mata. 
 
Justeru ujarnya, tidak timbul soal PAS akan mewujudkan kerjasama pilihan raya dengan Umno hanya disebabkan kedua-dua parti senada dalam hal-hal berkaitan agama. 
 
-na-
 


Tags : Pakatan Umno-PAS Idris


Ruangan Komen