Nasional   

Jamal berdepan tindakan jika jual ikan di himpunan PH

pada 12-10-2017 03:10 

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunus untuk tidak menjual ikan ketika himpunan anti-kleptokrasi dianjurkan Pakatan Harapan (PH) hujung minggu ini.
 
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, sekiranya berdegil, ketua Umno Sungai Besar itu boleh dikenakan tindakan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.
 
“Kita nasihatkan Jamal, kalau dia buat juga, kita akan lihat apa kesalahan dia di bawah undang-undang pihak berkuasa tempatan, kita akan minta pihak berkuasa tempatan ambil tindakan,” kata Noor Rashid kepada pemberita hari ini.
 
Jamal sebelum ini berkata beliau akan menjual ikan ketika himpunan “Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” di Padang Timur, Petaling Jaya pada Sabtu ini.
 
“Saya juga akan turun pada tarikh tersebut dengan membawa 10 tan ikan rakyat untuk dijual dengan harga RM5 sekilo,” kata Jamal.
 
Noor Rashid berkata, pihaknya mengharapkan Jamal mematuhi masihat polis bagi mengelak kejadian tidak diingini.
 
“Saya nasihatkan Jamal jangan ganggu himpunan, jangan cuba cetuskan keadaan huru-hara,” kata Noor Rashid.
 
Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia pernah menganjurkan program jualan ikan murah di Sekinchan pada September lalu.
 
Program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai apabila lebih 2,000 kilogram ikan berjaya dijual dalam tempoh beberapa jam sahaja.   
 
Jamal berkata, program itu sebagai mesej supaya kakitangan kerajaan dan pihak terlibat dalam urusan bekalan ikan membendung masalah peningkatan harga ikan di negara ini.
 
-na-

 



Tags : Jual ikan Padang Timur Jamal


Ruangan Komen