Nasional   

Warga asing dalangi sindiket pasport palsu

pada 17-10-2017 07:10 

Post Pic

GEORGETOWN: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan sembilan warga asing, malam tadi, dipercayai terbabit dalam sindiket pemalsuan pasport.
 
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata semua mereka yang berusia lingkungan 4 tahun hingga 47 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam di sebuah pangsapuri di Jelutong, yang dipercayai dijadikan sebagai pusat operasi sindiket terbabit.
 
Beliau berkata, suspek yang ditahan adalah enam lelaki warga Bangladesh, dua kanak-kanak dan seorang wanita warga Indonesia.
 
Katanya, hasil siasatan yang dijalankan mendapati, seorang daripada warga Bangladesh yang ditahan dipercayai dalang dalam sindiket pemalsuan dokumen berkenaan dengan bekerja sebagai ejen atau orang tengah.
 
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan di dalam premis berkenaan turut menemui pelbagai jenis dokumen, termasuk 94 pasport palsu warganegara Bangladesh dan wang tunai berjumlah RM15,000.
 
"Kita percaya semua pasport palsu itu dijual kepada majikan.
 
"Majikan juga dipercayai menggunakan orang tengah iaitu ejen bagi memudahkan proses dokumen pengenalan diri bagi pekerja warga asing yang digajikan," katanya pada sidang media, sebentar tadi.
 
Beliau berkata, kegiatan pemalsuan pasport itu dipercayai aktif dalam jangka masa yang lama dan siasatan terperinci akan dilakukan bagi mengesan jika masih ada pihak yang terbabit dalam aktiviti itu.
 
"Difahamkan, ejen terbabit sudah menetap di negara ini sejak 20 tahun lalu dan berkahwin dengan wanita warga Indonesia.
 
"Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit," katanya.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(1) F Akta Pasport 1966.



Ruangan Komen