Dunia   

Pyongyang beri amaran kepada PBB

pada 14-11-2017 11:11 

Post Pic

 
NEW YORK: Penyertaan tiga pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat (AS) dalam latihan tentera laut bersama Korea Selatan hanya memburukkan ketegangan antara negara itu dan Korea Utara.
 
Duta Korea Utara, Ja Song-nam dalam surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran situasi itu boleh membawa kepada tercetusnya perang nuklear.
 
Beliau berkata, penghantaran pertama seumpama itu sejak 2007 hanya membuatkan perang nuklear semakin sukar dijangka berikutan tindakan Washington yang dilihat seolah-olah bersedia melakukan serangan.
 
Latihan empat hari di barat Pasifik membabitkan kapal USS Ronald Reagan, USS Nimitz dan USS Theodore Roosevelt itu bermula Sabtu lalu.
 
Ia turut disertai tujuh kapal Korea Selatan, termasuk tiga kapal pemusnah.
 
Song-nam berkata, Amerika Syarikat sudah melakukan penerbangan tanpa henti menerusi pesawat pengebom strategik B-52, manakala pesawat pengebom B-1B dan B-2 dilihat kerap terbang di ruang udara Korea Selatan.
 
"Latihan perang nuklear berskala besar dan semua ancaman membuatkan orang akan berfikir kami membuat pilihan tepat dan perlu mempertahankan pendirian ini hingga ke akhirnya," katanya.
 
Korea Utara melaksanakan ujian nuklear keenam tahun ini dan beberapa ujian peluru berpandu, termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM). 


Tags : Pyongyang PBB


Ruangan Komen