Nasional   

Husam dakwa Wisma Tok Guru adalah miliknya

pada 14-11-2017 01:11 

Post Pic

 
KOTA BHARU: ADUN Salor, Datuk Husam Musa bertegas tidak akan keluar daripada Wisma Tok Guru selagi tiada keputusan mahkamah.
 
Menurutnya, notis daripada pihak PAS supaya mengosongkan bangunan dan tanah tersebut akan dicabar melalui tuntutan yang dikemukakan kepada mahkamah tinggi.
 
"Kalau habis (tempoh) notis ini, peguam mereka akan bawa kes kepada mahkamah.
 
"Itu notis dia (PAS), saya pun boleh keluarkan notis juga. Sebab bangunan ini milik saya," katanya pada majlis ceramah dan solat hajat di Wisma Tok Guru, Kampung Padang Lalang, Pendek, Kota Bharu, malam tadi.
 
Isu perebutan tanah itu bermula susulan tanah yang asalnya milik bekas ADUN Salor, Allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang dinamakan isterinya sebagai pemilik telah dijual kepada Setiausaha Kerja PAS Kelantan, Mohd Yasin Yusoff dengan harga RM700,000.
 
Sementara itu, PAS merancang mengadakan satu majlis kesyukuran dan solat hajat pada 16 November ini sebagai meraikan kejayaan mendapatkan semula tanah yang asalnya menempatkan Pejabat ADUN Salor itu.
 
Sebagai rekod, tanah itu menempatkan pejabat Ahmad Rosli sebagai ADUN Salor dan kemudiannya diserahkan kepada Husam sebagai ADUN baru pada 2008.
 
Husam yang juga naib presiden Amanah mendakwa beliau diberi keizinan oleh Ahmad Rosli untuk membina bangunan tambahan baru di tanah tersebut.
 
Kata Husam, beliau akan menfailkan notis kepada pemilik baru tanah tersebut supaya perkara itu diputuskan pihak mahkamah.
 
"Kalau kita ingkar notis pihaknya, dia akan bawa kes ini ke mahkamah. Dah pergi ke mahkamah ke belum? Belum. Jadi buat apa kita nak peduli.
 
"Pada 15 November satu perbicaraan akan bermula kerana kita failkan saman pemula nak mengisytiharkan bangunan ini milik saya.
 
"Perbicaraan sebenar untuk kes ini pula akan dibuat pada 4 Disember, tak lama dah," kata Husam sambil menegaskan bangunan tersebut kemungkinan akan menjadi miliknya.
 
-ze-
 


Tags : Husam Wisma Tok Guru


Ruangan Komen