Nasional   

Kanak-kanak 10 dan 13 tahun yang dilacurkan ibu semakin stabil

pada 14-11-2017 03:11 

Post Pic

 
JOHOR BAHRU: Keadaan dua kanak-kanak yang dipaksa melacur oleh ibunya dan diselamatkan pihak berkuasa kini semakin stabil selepas menjalani kaunseling.
 
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, Datuk Daud Arbah, berkata dua beradik itu ditempatkan di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak di Ulu Tiram dan menjalani kaunseling yang diberikan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
 
Katanya, kanak-kanak berusia 10 dan 13 tahun yang diletakkan di bawah JKM, sejak 1 November lalu, mula menunjukkan perkembangan positif selepas sesi kaunseling.
 
"Peringkat awal selepas diselamatkan dan diletakkan di bawah jagaan JKM pada awal bulan ini, mereka diberi kaunseling dua kali seminggu.
 
"Kini, keadaan mereka semakin stabil dan menjalani kaunseling seminggu sekali," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.
 
Semalam, seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 75 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan menganiayai dan melacurkan dua anak kandungnya awal bulan lalu.
 
Wanita berusia 39 tahun yang tidak bekerja itu mengaku bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
 
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Susur Dewata 1, Larkin Perdana dalam lima kejadian antara jam 9.25 pagi hingga 12.21 tengah hari, pada 1 Oktober dan 4 hingga 7 Oktober lalu.
 
Sebelum itu, wanita terbabit ditahan polis pada 25 Oktober lalu, dan setakat ini, polis sudah menahan tujuh lelaki warga Bangladesh berusia 28 hingga 42 tahun dan seorang lelaki tempatan yang juga majikan warga asing berkenaan berusia 48 tahun bagi membantu siasatan.
 
Daud berkata, pada sama usaha mengesan bapa mereka juga masih dijalankan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kulai serta waris keluarga, bagi hak penjagaan kanak-kanak terbabit.
 
Katanya, dua kanak-kanak itu akan ditempatkan di pusat perlindungan berkenaan sehingga 19 Disember ini dan mereka juga akan dibawa ke mahkamah bulan depan bagi mendapatkan perintah tetap penjagaan.
 
"Mahkamah akan menentukan hak jagaan terhadap kanak kanak ini, sama ada diserahkan kepada waris atau institusi kebajikan.
 
"Setakat ini, kami difahamkan mereka dikatakan ada mempunyai datuk yang menetap di Seremban tetapi masih belum dapat dikesan," katanya.
 
Bagaimanapun apabila ditanya mengenai masalah dan keadaan mental sehingga menyebabkan ibu mereka berbuat demikian, Daud berkata JKM tidak mempunyai maklumat berhubung perkara berkenaan selain dua lagi anak berusia empat dan lima tahun yang dikatakan berada dalam jagaan wanita terbabit.
 
-ze-


Tags : Kanak-kanak ibu


Ruangan Komen