Nasional   

Ekonomi negara diunjur berkembang 5% tahun depan

pada 14-11-2017 04:11 

Post Pic

 
NEW YORK: Conference Board, persatuan penyelidikan perniagaan bebas berpusat di New York, mengunjurkan Malaysia akan mencatat pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 5% pada 2018, rendah sedikit berbanding 5.5% pada 2017.
 
Dalam Tinjauan Ekonomi Global terkini 2018 yang dikeluarkan pada Isnin, berkata Malaysia bukan satu-satunya negara ASEAN menghadapi penurunan memandangkan pertumbuhan KDNK Thailand juga dijangka merosot kepada 3% pada 2018 berbanding 3.8% pada 2017.
 
Laporan itu menyebut kelembapan ekonomi Malaysia disebabkan faktor penurunan harga minyak dan harga komoditi lain yang dijangkakan tidak akan meningkat melepasi paras semasa tahun depan.
 
Namun, momentum ekonomi global secara keseluruhannya dijangka terus mencatat kadar pertumbuhan global sebanyak 3% pada 2018.
 
“Pertumbuhan global akhirnya meninggalkan paras terendah sejak krisis ekonomi dan kewangan global, dan pertumbuhan KDNK yang kami unjurkan berkembang pada
kadar 2.8% tahun lepas, mungkin mencatatkan kira-kira 3% untuk 2017 hingga 2018,” kata Ketua Ekonomi Board Conference, Bart van Ark.
 
Walaupun pertumbuhan pasaran matang akan kekal kukuh dalam jangka pendek, potensi pemecutan pertumbuhan adalah terhad dan kelembapan pertumbuhan mungkin berlaku pada akhir dekad ini.
 
“Memandangkan beberapa pasaran pesat membangun semakin matang, terutama China, mereka tidak mungkin akan kembali kepada trend pertumbuhan masa lepas.
 
“Berita baiknya, faktor pertumbuhan kualitatif, seperti peningkatan kemahiran tenaga kerja, pendigitan, dan peningkatan produktiviti yang lebih kukuh boleh membantu mengekalkan pertumbuhan dan menyediakan kedudukan lebih baik untuk perniagaan berkembang maju pada dekad akan datang,” katanya.
 
Conference Board berkata momentum pertumbuhan ekonomi matang telah meningkat pada 2017 dan diunjurkan meningkat 2.1% pada 2018 berbanding 2.2% pada 2017.
 
Ia berkata ekonomi Amerika Syarikat (AS) akan memperoleh manfaat apabila membawa kadar pertumbuhan pelaburan lebih kukuh kepada tahun depan, manakala
beberapa ekonomi Eropah mungkin melihat beberapa kelemahan ekoran kitaran, dan kembali kepada trend pertumbuhan jangka sederhana mereka pada pertengahan 2018.
 
Sementara itu, ia mengunjurkan pasaran pesat membangun akan berkembang 3.8% berbanding 3.7% pada 2017, menambah, perbezaan ketara akan dicatat di seluruh negara.
 
China mempunyai pertumbuhan agak kukuh pada 2017 berikutan peningkatan semula eksport dan sokongan kerajaan yang mencukupi untuk ekonomi menjelang Kongres Parti pada Oktober, namun akan meneruskan penurunan kecil berpanjangan pada 2018.
 
Conference Board juga memberi amaran mengenai risiko semasa kekuatan ekonomi global, walaupun penstabilan harga tenaga dan komoditi, keyakinan perniagaan yang lebih baik, pemulihan kitaran di Eropah, dan rangsangan pertumbuhan berasaskan dasar China.
 
Contohnya, pemulihan lemah dalam pelaburan mungkin mengehadkan kepesatan teknologi yang boleh diterjemahkan ke dalam pertumbuhan produktiviti, manakala pertumbuhan lemah dalam penggunaan mungkin berlaku di beberapa negara, memandangkan pertumbuhan gaji sebenar kekal perlahan walaupun pasaran buruh semakin ketat.
 
Ia berkata dasar dan risiko geopolitik (Brexit, dasar AS, krisis pelarian, kegaasan, bencana alam) boleh menjejaskan trend pertumbuhan ekonomi.
 
Pemecutan perlindungan atau perang perdagangan antara AS dan China, dan peningkatan risiko konflik politik atau tentera di bahagian lain di dunia, adalah risiko lain mengancam kestabilan dan trajektori pertumbuhan.
 
Namun menurut Conference Board, beberapa kuasa boleh membantu mengukuhkan kualiti pertumbuhan dan menjadikannya lebih mampan dalam dekad akan datang.
 
Kekurangan tenaga kerja, boleh membantu mendorong pertumbuhan pelaburan lebih cepat, terutama dalam sektor dengan permintaan yang tinggi untuk bakat yang tidak ramai dimiliki.
 
“Peningkatan modal ini merupakan sumber pertumbuhan produktiviti buruh, terutama untuk Eropah, Amerika Syarikat dan ekonomi matang lain,” katanya.
 
Conference Board berkata laluan pertumbuhan China perlahan dan trendnya akan berterusan pada 2018 dengan unjuran pertumbuhan 3.9% berbanding 4.2% pada 2017.
 
Sementara itu, ia berkata Jepun akan tumbuh 1% (1.5% pada 2017). India akan meneruskan trajektori pertumbuhannya dengan pertumbuhan 6.5% pada 2018, meningkat daripada 6.2% pada 2017, manakala Vietnam akan berkembang 6% pada 2018, meningkat daripada 5% pada 2017.


Tags : Ekonomi berkembang


Ruangan Komen