Nasional   

Mansuh Bai'ah: Yakini ketinggian ilmu Majlis Syura Ulama PAS

pada 14-11-2017 05:11 
Oleh Ainor Rahim

Post Pic

 
SHAH ALAM: Majlis Syura Ulama akan memutuskan yang terbaik berhubung cadangan pemansuhan lafaz bai'ah talak tiga khusus untuk ahli parti itu di Kelantan.
 
Veteran PAS, Subky Abdul Latif berkata ahli akar umbi PAS harus yakin dan meletakkan kepercayaan kepada kewibawaan majlis syura dalam menimbang isu berkenaan. 
 
Terdahulu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin memberitahu Antarapos bahawa majlis syura sedang mempertimbangkan untuk memansuhkan lafaz bai'ah talak tiga yang dikenakan ke atas calon yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
"Jadi kalau dia (Majlis Syura Ulama) timbang, dia nak bincang. Jadi, kita tengok macam mana nanti.
 
"Mereka (Majlis Syura Ulama) semua ini ahli-ahli ilmu. Ilmu tinggi, jadi oleh kerana benda itu kalau dibuat mesti mengikut syarak," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Menceritakan mengenai bai'ah itu, Subky turut berkata lafaz bai'ah talak tiga itu hanya tertakluk kepada ahli PAS, di Kelantan sahaja bukannya di seluruh negara. 
 
"Tertalak isterinya, kalau orang khianat pada parti untuk menghadapi pilihan raya ini. Jadi benda itu dibuat di Kelantan," jelasnya.
 
Hashim Jasin turut berkata kepada Antarapos, penelitian pemansuhan bai'ah itu termasuk dalam usaha parti untuk memastikan penyelarasan lafaz bai’ah di seluruh negara menjelang pilihan raya umum kali ini.
 
Untuk rekod, lafaz bai'ah PAS yang digunakan untuk mengikat wakil rakyat atau pemimpin pernah menjadi perdebatan secara terbuka selepas beberapa pimpinan kanan bertindak keluar parti.
 
Isu lafaz talak tiga itu pernah muncul pada tahun 2015, apabila wakil rakyat PAS Kelantan melanggar bai’ah tersebut, iaitu ialah Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar.
 
PAS memperkenalkan bai’ah atau sumpah kepada wakil rakyatnya di seluruh negara yang bertanding atas tiket parti itu sejak 2004 yang mesti mengosongkan kerusi mereka jika meninggalkan parti atau melompat ke parti lain dengan sukarela.
 
Selain itu, bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan menambah syarat bahawa wakil rakyat PAS di Kelantan perlu bertaklik dengan melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri masing-masing.
 
Lafaz bai’ah atau sumpah taat setia dibuat setiap wakil rakyat PAS Kelantan sejak 2004 dan dipersetujui di hadapan Pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat.
 
-ze-


Tags : Bai'ah Majlis Syura Ulama PAS


Ruangan Komen