Nasional   

RoS: PPBM langgar perlembagaan parti tubuh Armada [TONTON VIDEO]

pada 17-11-2017 05:11 
Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar

Post Pic

 
PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri bertindak melanggar peruntukan perlembagaan parti itu apabila menubuhkan Armada.
 
Perkara itu ditegaskan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Surayati Ibrahim di sidang media, petang tadi.
 
“Mana-mana pertubuhan yang didaftarkan di Malaysia termasuk parti politik umumnya dan PPBM khasnya dibuat oleh mereka sendiri dan dikemukakan kepada RoS untuk kelulusan.
 
“Setelah diluluskan adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan pertubuhan itu mengendalikan urus tadbir dengan baik.
 
“Dalam hal ini PPBM sendiri yang melanggar perlembagaan parti iaitu membenarkan sayap pemuda yang dinamakan Armada beroperasi sedangkan belum mendapat kelulusan pindaan perlembagaan dan belum mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan,” katanya.
 
Surayati menegaskan krisis membabitkan Armada ini adalah sesuatu yang serius kerana tidak menghormati Akta Pertubuhan.
 
Ia sejajar dengan Perlembagaan PPBM Fasal 28 mengenai Pindaan Perlembagaan yang menyebut sebarang pindaan ke atas perlembagaan parti perlu dipersetujui tidak kurang dari 2/3 perwakilan yang hadir ke mesyuarat agung tahunan atau perhimpunan agung khas.
 
“Pucuk pimpinan PPBM perlu tahu bahawa perlembagaan parti dan juga undang-undang berkaitan pertubuhan adalah sesuatu yang amat serius. 
 
“Ini pernah terjadi pada tahun 1988 apabila Umno diharamkan kerana melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan,” kata Surayati.
 
Sementara itu RoS memberitahu seramai 33 ahli Armada PPBM membuat laporan kepada jabatan itu setelah konflik sayap itu dimulakan dengan pemecatan beberapa ahli exconya.
 
Surayati dalam masa yang sama mengingatkan semua pihak termasuk pucuk pimpinan PPBM untuk tidak menuduh RoS sengaja mensensasikan konflik dalaman parti itu.
 
“Sebelum membuat sebarang tuduhan atau tohmahan ke atas tindakan RoS, sila baca perlembagaan rasmi PPBM yang didaftarkan dengan RoS.
 
“Sekiranya tuduhan ini terus berlaku saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang terlibat,” tegasnya.
 
-na-


Tags : RoS PPBM parti tubuh Armada


Ruangan Komen