Nasional   

Farid Kamil direman empat hari

pada 12-01-2018 12:01 

Post Pic

 
PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah filem terkenal, Datuk Farid Kamil direman empat hari bermula hari ini setelah didakwa bertindak di luar dugaan dengan menampar seorang anggota polis ketika berada di kaunter Cawangan Trafik, Balai Polis Kota Damansara di sini semalam.
 
Perintah reman sehingga Isnin ini dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir mengikut Seksyen 117 Kanun Prosesur Jenayah.
 
Terdahulu, suami kepada pelakon jelita, Datin Diana Danielle, 27, yang memakai baju lokap berwarna unggu tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10.07 pagi dengan menaiki trak polis.
 
Pelakon berusia 37 tahun yang baru menerima gelaran Datuk pada Disember lalu diiringi anggota polis masuk ke dalam mahkamah pada pukul 10.35 pagi untuk prosiding reman. Prosiding berkenaan mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum bintang filem Lagenda Budak Setan itu dibawa keluar kira-kira pukul 10.50 pagi.
 
Pelakon itu disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh di balai polis, Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyepak orang awam, Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menampar anggota polis dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas dakwaan memasukkan dadah dalam badan.
 
Turut kelihatan adik pelakon tersebut iaitu Fadzil Zahari yang merupakan suami kepada pelakon dan penyanyi, Yana Samsudin.
 
Dalam kejadian pada pukul 1.20 petang itu, pelakon terbabit dilaporkan datang ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan satu kemalangan jalan raya.
 
Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu sambil disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.
 


Tags : Farid Kamil reman


Ruangan Komen