Nasional   

Demo di pejabat RoS jika tiada tindakan terhadap PPBM

pada 12-01-2018 03:01 

Post Pic

KUALA LUMPUR: Bekas Exco Pemuda PPBM, Muhd Syazwan Ahmad Zainal mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) segera mengambil tindakan tegas terhadap parti itu susulan Perhimpunan Agungnya (AGM) yang didakwa tidak sah. 
 
Ujar Muhd Syazwan, pihaknya tidak akan teragak-agak menganjurkan himpunan di ibu pejabat RoS sekiranya masih tiada sebarang tindakan atau siasatan dilakukan terhadap parti itu.  
 
"RoS perlu tegas dan tidak berkrompomi dengan mana-mana pihak. Sebagai ahli parti, kami berhak tahu sama ada perhimpunan agung itu sah atau tidak.
 
"Kami dapati perhimpunan agung telah melanggar perlembagaan kerana tiada perwakilan yang sah. Jika ROS tidak ambil tindakan segera, kami akan adakan demonstrasi di ibu pejabat ROS," katanya dalam sidang media, hari ini.
 
Ujarnya sehingga kini tiada tindakan daripada RoS walaupun beberapa aduan telah dibuat berkenaan AGM tersebut yang tidak mematuhi perlembagaan parti.
 
PPBM pada 30 Disember tahun lalu mengadakan AGM pertama yang dihadiri 941 perwakilan daripada 137 bahagian di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.
 
Bagaimanapun beberapa pemimpin akar umbi tampil mendakwa kononnya AGM PPBM 'syok sendiri' berikutan memperjuangkan kepentingan individu tertentu dan tiada inisiatif untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti.
 
Mereka juga mendakwa AGM pertama itu hanya memberi tumpuan kepada pimpinan tertentu sahaja dan perwakilan bahagian tidak diberi hak untuk menyuarakan pandangan.
 
 
 
 
-sh-
 


Tags : RoS PPBM


Ruangan Komen