Nasional   

Terowong dasar laut: Tiada sesen pun bayaran dibuat, dakwa Guan Eng

pada 12-01-2018 06:01 

Post Pic

 
 
GEORGE TOWN: Tiada sebarang bayaran dibuat bagi projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang, tegas Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.
 
“Tiada satu sen, tak ada sekupang pun dibayar untuk projek terowong dasar laut ini... yang kami lakukan pembayaran adalah hanya untuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi tiga lebuh raya. Itu sahaja.
 
“Yang ini kami bayar sehingga peringkat DEIA (Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar) dan kami pun dapat kelulusan DEIA itu dan bermakna projek ini boleh dimulakan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
 
Guan Eng pada masa yang sama turut membidas beberapa akhbar arus perdana yang didakwa memutarbelitkan laporan berhubung isu pembiayaan itu.
 
Sementara itu mengulas laporan pejabat ketua menteri diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Guan Eng menafikan perkara tersebut. 
 
“Semalam pejabat ketua menteri tidak diserbu langsung oleh SPRM," katanya.
 
Isu terowong dasar laut kembali hangat diperkatakan susulan SPRM membuat serbuan di beberapa pejabat kerajaan di Komtar dan syarikat berkaitan projek itu, Selasa lepas dan semalam untuk siasatan susulan laporan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan.
 
Kelmarin, dua individu bergelar Datuk daripada syarikat pembangunan hartanah direman enam hari masing-masing di Putrajaya dan di sini bagi membantu siasatan.
 
Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.
 
Projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri.
 
Pelaksanaannya juga dibantah dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
 
 
 
-sh-
 


Tags : terowong dasar laut Guan Eng


Ruangan Komen