Komentar   

PH risau PAS semakin cenderung pada Islam

pada 18-01-2018 07:01 
Oleh Zainal Salleh

Post Pic

 
[ULASAN] PAS sudah berkali-kali mengisytiharkan bahawa ia tetap akan bersaing menentang Umno dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU). Malah keadaan itu sesuatu yang lumrah bagi parti itu sejak mulai menyertai PRU 1955 – lawan Umno.
 
Bagaimanapun apabila melihat kebarangkalian PAS bekerjasama dengan Umno akan menyebabkan parti-parti lawan terutama Pakatan Harapan (PH) kalah teruk, perkara itu perlu digembar-gemburkan agar ia tidak menjadi kenyataan.
 
Malah mesej yang terselit dari ura-ura itu mempunyai serampang dua mata. Pertama, jika PAS terus memusuhi Umno, maka tentu ia tidak akan menjadi faktor ‘pemecah’ yang akan memenangkan Umno jika berlaku persaingan tiga penjuru. 
 
Kedua, PH masih menyandarkan harapan bahawa pada saat akhir PAS akan menarik diri atau memperlahankan kempen supaya ia (Amanah, PKR dan DAP) hanya berhadapan dengan Umno sahaja dalam PRU 14 kelak. Peluang PH lebih besar jika ini berlaku.
 
Bagaimanapun reaksi PAS terhadap sergahan PH itu agak hambar. Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang kelihatan lebih cenderung pada Umno dalam membuat pilihan di antara PH dan Umno.
 
Ini menggusarkan PH. Justeru jalan pintas untuk mengetahui kedudukan sebenar dalam meneka pilihan PAS ini, PH cuba “menekan” PAS supaya memberi isyarat lebih jelas – pilih PH atau Umno.
 
Namun reaksi PAS tetap sama. Ia akan menyebelahi mana-mana pihak yang bersedia untuk bekerjasama dengannya mempertahankan kepentingan Islam dan umatnya di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. 
 
Justeru pilihan yang tinggal pada PH ialah menyebarkan tuduhan bahawa Umno dalam memujuk PAS supaya cenderung padanya ketika lemas diasak serangan dan fitnah PH, “menawarkan” supaya PAS terus berjaya mengekalkan kuasa di Kelantan. 
 
Di kawasan-kawasan undi negeri lain, PAS sebagai balasannya, akan “sengaja memecahkan undi” PH supaya ia dapat memenangkan calon-calon Umno. Dalam perkataan lain PH cuba  menghunjamkan dalam hati rakyat bahawa PAS dan Umno bekerjasama.
 
Kelantan lambang kekuatan PAS
 
Pengatur strategi PH dalam PBBM amat gusar dengan keadaan ini. Jika Kelantan, simbol kekuatan PAS masih dapat dipertahankan parti itu dalam PRU14 ia membawa mesej bahawa PAS masih kuat dan Umno akan mendapat manfaat besar di negeri-negeri lain.
 
PH dikatakan cuba menanam bibit keraguan terhadap PAS. Maka berterusanlah saman PAS di Mahkamah Britain terhadap portal Sarawak Report yang kononnya digunakan PH untuk menuduh PAS menerima bantuan kewangan RM90 juta daripada Umno.
 
Kes itu belum selesai maka sukar dijadikan ukuran terhadap kebarangkalian kerjasama PAS-Umno ini benar-benar wujud.
 
Jika diamati, memang wajar PAS bersikap membisu begini. Ini kerana ia tahu bahawa soal berbaik semula dengan PH sudah lama tertutup. Asasnya, tiada satupun kerabat PH yang boleh diharapkan untuk menyokong perjuangan Islamnya,
 
DAP yang mula-mula mentalak PAS dari Pakatan Rakyat. Sementara PKR pula tidak membela PAS dengan menyatakan pendirian tegas bahawa ia boleh diharapkan bekerjasama membela Islam. PAS kemudian memutuskan tahaluf siayasi dengan PKR.
 
PAS memilih menjadi jalur kuasa ketiga politik Malaysia. Bersama Berjasa, Parti Ikatan Rakyat dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), PAS bersetuju bekerjasama untuk berkongsi kuasa jika jalur pemikiran politik itu berjaya dalam PRU14.
 
Ramai yang memomokkan impian PAS itu. Namun ia sebenarnya meletakkan PAS pada kedudukan politik yang lebih selesa. Walaupun PH mengungkit bahawa PAS mencatatkan kemenangan banyak kerusi dalam PRU13 pada 2013 kerana sokongan PH, PAS masih tekal.
 
Bagi PAS kenyataan bahawa undi penyokong DAP dan PKR, terutamanya pengundi bukan Melayu, yang memenangkan PAS itu adalah lumrah. Pengundi penyokong PAS juga membantu kedua-dua parti berkenaan menang pada 2013.. 
 
PH terus burukkan PAS
 
Isu PAS dan PH ini ialah soal kasih sayang. Bila hilang rasa hormat, maka pelbagai ungkitan negatif dibuat. PH kini berusaha membunuh wibawa PAS. Ia cuba menggunakan “penghijrah PAS” dalam parti Amanah untuk memburukkan PAS, namun kurang berkesan. 

Langkah munasabahnya ialah memburukkan imej PAS sehina mungkin sebelum PRU14 dan berharap ia dapat “memotong” sokongan Melayu pada PAS dan menjadikan ia tidak berkesan untuk menjadi “penyumbang” pula pada kemenangan PH.

Namun Haji Hadi sedar permainan PH itu. Awal-awal lagi beliau sudah mengingatkan ahli-ahli PAS supaya usah keliru dengan taktik PH ini yang mahu mengendurkan semangat mereka menyertai PRU14 dengan memboikot pengundian. 
 
Memang Umno-BN banyak mengisi keperluan dan keutamaan PAS. Kini lebih banyak model pembangunan Islam dan prasarana lain seperti maqasid syariah; indeks syariah, perbankan Islam, pendidikan Islam, bantuan pada negara-negara Islam, diusahakan Umno-BN.
 
Ini semua mendekatkan PAS pada Umno. Barbanding dengan Amanah yang dianggap “pengkhianat” perjuangannya, dan PKR yang semakin “liberal” dengan konsep muslim demokratnya, PAS memang mudah tertarik mendampingi Umno.
 
Soalnya, wajar dan tuluskah pendekatan Umno itu? Ada masih ramai pemimpin Umno pelbagai peringkat yang tidak mahu Umno sendiri meninggalkan konsep perjuangannya yang lebih inklusif. Namun Umno sendiri kterdesak menjadi “lebih Islam”.
 
Yang menjengkelkan PH ialah, Umno lebih banyak berusaha menampilkan produk cara-hidup Islam berbanding yang mampu ditawarkan oleh PH. Lantas, sama ada sebab “dedak” atau tidak, PAS semakin selesa dengan pendiriannya. Ini menjadikan PH lebih irihati.
 
Umno nampaknya mempunyai ‘magnet agama’ untuk menggamit kesefahaman PAS.
 
 


Tags : PH PAS Islam


Ruangan Komen