Dunia   

New York terus buka Statue of Liberty

pada 22-01-2018 08:01 

Post Pic

NEW YORK: Statue of Liberty yang tidak beroperasi disebabkan penutupan kerajaan Amerika Syarikat akan dibuka hari ini supaya terus menjadi simbol kepada 'pendatang' di seluruh dunia selain kepada 'pelancong yang berada'.
 
"Kami tidak akan membiarkan simbol kebebasan dan peluang ini dibayangi kegelapan," kata Gabenor New York, Andrew Cuomo dalam muat naik di Twitter hari ini sambil memaklumkan negeri itu mendapat dana untuk meneruskan pembukaan mercu tanda tersohor itu.
 
Tindakan menutup beberapa taman berhampiran tugu itu menjejaskan pemacu utama ekonomi New York," kata Cuomo yang juga ahli Demokrat.
 
"Taman ini adalah simbol New York dan nilai pegangan kami. Mesejnya amat penting lebih-lebih lagi hari ini," katanya merujuk kepada pertikaian bajet di Washington apabila parti Demokrat cuba melindungi ratusan ribu pelarian tanpa dokumen sebelum bersetuju dengan cadangan Republikan untuk meneruskan penyaluran dana kerajaan.
 
Kesan kebuntuan bajet itu mengakibatkan banyak perkhidmatan kerajaan termasuk Statue of Liberty ditutup sejak Sabtu lalu.
 
Bercakap kepada pemberita di selatan Pulau Manhattan berlatarbelakangkan Statue of Liberty, Cuomo menjelaskan negeri itu akan menampung kos sebanyak AS$65,000 (RM256,002) yang diperlukan setiap hari untuk membayar pekerja persekutuan bagi memastikan taman itu dibuka.
 
Pulau Statue of Liberty menjadi lokasi pendatang yang baru tiba untuk diproses suatu ketika dulu. Kini, ia menjadi tarikan kepada kira-kira 4.5 juta pengunjung setahun. Kebanyakannya datang dengan menaiki bot dari Manhattan.



Ruangan Komen