Nasional   

Berniat lakukan keganasan di Syria, bekas penyelia kilang dipenjara 8 tahun

pada 22-01-2018 07:01 

Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Seorang bekas penyelia kilang dijatuhkan hukuman 8 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan cuba memasuki Syria untuk melakukan perbuatan pengganas di negara itu sehingga menjual tanah lot rumahnya bagi perbelanjaan berhijrah ke negara itu.
 
Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Mohamad Awang, 42, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 21 Februari 2017.
 
Mohamad didakwa cuba memasuki Syria melalui Tehran, Iran dengan niat melakukan perbuatan pengganas di Syria mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan, boleh dihukum mengikut peruntukan sama iaitu hukuman 30 tahun penjara dan boleh dikenakan sebat.
 
Hakim Azman berkata tindakan seseorang yang berniat berjihad pada jalan agama tetapi pada masa yang sama meninggalkan tanggungjawab terhadap keluarga adalah salah.
 
“Kamu pilih untuk berjihad dan pilihan kamu ini jika tercapai, kamu akan tinggalkan isteri dan anak-anak kamu dan isteri akan mengambil alih tanggungjawab terhadap anak-anak kamu,” katanya kepada bapa empat anak itu.
 
Hakim itu turut menasihati tertuduh agar insaf dan kesal dengan tindakannya dan berharap keluarganya dapat memaafkan dan menerimanya semula.
 
Mohamad dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Crystal Crown Hotel, di Jalan Jambu Mawar, Jalan Kepong Utama dekat sini, pukul 12 tengah hari, pada 21 Feb 2017.
 
Mengikut fakta kes, Mohamad menjual tanah lot rumah kepada abangnya dengan nilai RM15,500 untuk perbelanjaan berhijrah ke Syria.
 
Pada 21 Februari 2017, Mohamad bersama kenalan bernama “Anwar”, seorang warga Indonesia ditahan di hadapan sebuah hotel selepas berbincang mengenai rancangan masuk ke Tehran, Iran dan menyusup masuk ke sempadan Syria dengan menggunakan laluan darat yang akan diuruskan oleh pejuang ISIS, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.
 
Terdahulu, Mohamad yang diwakili peguam Syahredzan Johan dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara kurang lapan tahun memandangkan ini adalah kesalahan pertama anak guamnya dan dia tidak mempunyai rekod jenayah.
 
“Anak guam saya insaf dan kesal dengan tindakannya, dia juga memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh penahanannnya,” katanya.
 
Timbalan Pendakwa Raya Nurfaida Mohd Rashidee memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat umum bahawa kesalahan berkaitan dengan kumpulan pengganas adalah kesalahan serius.
 
 
 
-sh-
 


Tags : Syria penyelia kilang


Ruangan Komen